WAWANCARA | Berdepan pemilihan parti pada muktamar tahun ini, PAS diminta mengelakkan sebarang pertembungan tajam di peringkat tertinggi yang berisiko memberi kesan negatif kepada parti.
Berkongsi pandangan peribadi, Naib Presiden PAS Mohd Amar Abdullah berkata, jika Presiden PAS Abdul Hadi Awang memilih untuk berundur sekali pun, posisi itu mesti diganti oleh timbalannya.
Pun begitu, Mohd Amar berkata, pada pandangannya pilihan terbaik ialah mengekalkan Abdul Hadi bersama Tuan Ibrahim Tuan Man selaku timbalan presiden.
Apa yang perlu dilakukan, kata bekas timbalan Menteri Besar Kelantan itu lagi, PAS perlu ‘menyusun’ keanggotaan di peringkat ahli Jawatankuasa PAS Pusat supaya semua kebolehan yang ada – iaitu tokoh agamawan, profesional dan teknokrat – dapat digabungkan.
“Sebabnya, (jika gabungan itu wujud) banyak perkara boleh dibincangkan dalam mesyuarat PAS Pusat. Di situlah mereka boleh berikan input-input berkaitan.
"Di peringkat naib presiden pun dah comel gabungan antara ulama dan bukan ulama. Justeru kita perkemas di peringkat ahli jawatankuasa.
“Yang pimpinan atas biar kekal, itu pandangan saya.
"Dan kalaulah kalau Tok Guru (Abdul Hadi) kata nak berundur, bagi saya, timbalan kena naik. Jangan ada orang lain nak pintas sebab struktur (parti) kita dah begitu.
“Kalau buat begitu, nampak tenang dalam parti,” katanya dalam sesi wawancara bersama Malaysiakini di Kota Bharu, semalam.
Dakwa cuba ‘langgar presiden’
Mohd Amar yang juga Adun Panchor menjelaskan kalau ada pertembungan di peringkat jawatan tertinggi, akan ada kesan kepada PAS, khususnya kerana setiap orang mempunyai pengikut tersendiri.
Kumpulan yang kalah, katanya, akan berasa tidak puas hati dan mungkin ada “macam-macam” cerita yang keluar.
Kerana itu, katanya, dia cenderung agar tiada pertembungan berlaku di peringkat atasan parti.
Terdahulu Mohd Amar diminta mengulas mengenai pertandingan dan pertembungan tajam mungkin berlaku dalam Muktamar PAS Ke-71 yang akan berlangsung pada Sept nanti.
Walaupun kelihatan bahang pemilihan itu tidak ketara berbanding parti lain, beberapa petanda menunjukkan wujud dua aliran yang sedang bersaing dalam parti tersebut.

Misalnya ada pemimpin Pemuda PAS negeri yang menggunakan label “kumpulan pro-DAP” kepada pihak tertentu dalam parti berkenaan.
Kumpulan yang menggelarkan diri mereka Geng Ustaz pula baru-baru ini membangkitkan isu adanya cubaan “melanggar presiden” dan menganggapnya sebagai “kudis lama” dalam parti tersebut.
Malah Presiden Geng Ustaz, Ahmad Dusuki Abd Rani, turut menggelar pihak yang mengganggu kepimpinan ulama sebagai “syaitan-syaitan dalam kalangan manusia dan jin”.
Mohd Amar menegaskan, kepimpinan PAS memang sejak dulu tidak pernah mengawal atau menyekat sebarang pertandingan dalam parti selagi ia melalui proses dan kelayakan yang ditetapkan perlembagaan.
Takkan boleh duduk diam
Ditanya mengenai kenyataan-kenyataan yang dilihat menggesa agar dua jawatan tertinggi PAS tidak diisi tokoh profesional, Mohd Amar berkata, perkara itu hanya pandangan peribadi pelbagai pihak apabila pemilihan tiba.
Pada masa sama lepasan Universiti Birmingham di UK itu juga cenderung agar dua jawatan tertinggi PAS diisi oleh dua tokoh agamawan atau ulama.
“Biasalah dalam parti memang tiada sebarang halangan. Cuma apabila nak bertanding orang ini ada pandangan, orang itu ada pandangannya, saya pun beri pandangan saya... tapi bukan arahan, sebaliknya sekadar pandangan peribadi,” katanya
Pun begitu, Mohd Amar mengingatkan, sudah lama PAS tidak menyaksikan pertandingan di peringkat atasan parti itu kerana biasanya ramai yang menarik diri walaupun dicalonkan.
Kecuali, katanya, jika ada kekosongan apabila penyandang berundur.
Mohd Amar turut akui betapa pertembungan dalam pemilihan akan menyebabkan berlaku pergeseran dalaman seperti yang sedang dialami PKR susulan persaingan di antara Nurul Izzah Anwar dan Rafizi Ramli baru-baru ini.

Katanya, pertembungan antara dua pimpinan PKR itu sangat serius dalam konteks politik semasa sekali gus menyaksikan wujud ketidakstabilan politik dalam parti-parti kerajaan Madani.
Malah Mohd Amar melihat konflik itu memberi kesan besar kepada negara dan sempat mendoakan agar perwakilan PRK memenangkan Nurul Izzah kerana akan menguntungkan PAS.
"Masalah Nurul Izzah dan Rafizi ini (isu) besar dari segi politik kerana ia bukan sekadar pertembungan biasa melibatkan anak presiden.
“Sebelum pertandingan saya doakan Nurul Izzah menang, sebab ia bagi kesan perpecahan besar.
"Rafizi seorang yang loose cannon, (apabila kalah) takkan duduk diam, dia akan terus membedil hingga PRU akan datang. Ini satu kelebihan kepada kita sebagai pembangkang,” katanya.

Begitu juga DAP apabila Mohd Amar mentafsirkan berlaku pertembungan di antara kem Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, dengan veteran parti itu yang kini menjadi penasihat, Lim Guan Eng.
Dalam Umno pula, kata Speaker DUN Kelantan itu lagi, konflik tidak terkecuali sehingga membawa kepada langkah Tengku Zafrul Abdul Aziz meninggalkan parti berkenaan dan memohon menyertai PKR.
“Semua ini – kalau orang yang faham politik – akan nampak kelemahan parti-parti tersebut.
"Sebab itu PAS kena jaga, jangan kita buat perangai serupa (hingga) bertembung tak tentu pasal sesama kita.
“Kalau kita boleh tampilkan imej yang stabil, tenang, tidak berebut jawatan dan tiada kepentingan peribadi, kitalah pilihan terbaik untuk rakyat," jelasnya.
