Menteri Pengangkutan Anthony Loke memaklumkan bahawa kementeriannya sedang menggalakkan pengangkutan barang kontena daripada lori kepada penggunaan kereta api.

“ECRL akan siap dalam masa dalam dua tahun dan selepas siapnya ECRL memang pengangkutan kontena dan barangan ke Pantai Timur akan digalakkan dan juga akan diperbanyakkan menggunakan rel daripada penggunaan lori kontena,” katanya pada Forum Ilmuwan Malaysia Madani Siri 6 di Menara Prasarana, di Petaling Jaya, semalam.
Inisiatif itu diharap dapat meningkatkan keselamatan jalan raya apabila timbul wacana mengenai kemalangan membabitkan kenderaan berat dan usaha mengelak kemalangan.
Pada 13 Mei lalu, lori Unit Simpanan Persekutuan (FRU) yang membawa 18 anggota dari Unit 5 Sungai Senam bertembung dengan sebuah lori sarat batu di Teluk Intan, Perak, menyebabkan lapan orang maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia di Hospital Teluk Intan.

Pada 23 Dis, tujuh orang terbunuh manakala 33 lagi cedera dalam kemalangan lima kenderaan di Lebuhraya Utara-Selatan (Plus).
Kemalangan itu melibatkan sebuah bas persiaran yang membawa 27 penumpang, dua lori, sebuah kereta, dan sebuah MPV.
Mobiliti rakyat
Loke juga berkata kementeriannya mengutamakan mobiliti rakyat Malaysia.
Ini melibatkan pengangkutan yang lebih pantas, pengurangan kesesakan dan penggunaan pengangkutan awam yang menggalakkan.

“Lembah Klang sebenarnya ada satu sistem rangkaian pengangkutan awam yang agak komprehensif.
“Cuma bagaimana kita menggalakkan pengguna itu dgn lebih banyak dan menyelesaikan isu last mile dan first mile itu menjadi fokus kita,” katanya.
