Bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim ragu-ragu keberkesanan jawatankuasa sekretariat Melayu yang diumumkan oleh Dr Mahathir Mohamad semalam sebagai "payung besar" untuk menyelamatkan kaum Melayu.
Menurutnya, usaha menggabungkan kekuatan politik Melayu sebelum ini sering menemui kegagalan kerana parti-parti utama seperti Umno dan PAS lebih mementingkan agenda masing-masing.
“Sudah tiba masanya pembangkang menilai semula pendekatan mereka dan segera membina semula kekuatan dengan strategi yang segar.
“Bersatu telah hilang momentum. Penghijrahan besar-besaran dari Umno yang diharapkan tidak berlaku, dan kini parti itu hilang arah.

“PAS pula walaupun masih mempunyai sokongan teras yang setia, tidak cukup tangkas menyesuaikan diri dengan kehendak pengundi yang semakin celik dan menuntut lebih,” katanya menerusi satu kenyataan di platform X pagi ini.
Zaid memberi maklum balas terhadap sidang media Mahathir dan sekumpulan ahli politik pembangkang semalam, dengan bekas perdana menteri itu mengumumkan penubuhan jawatankuasa sekretariat Melayu.
Keputusan menubuhkan jawatankuasa itu dibuat selepas Mahathir mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin politik, termasuk daripada Perikatan Nasional.
Menurut Mahathir, jawatankuasa itu akan menjadi platform untuk menangani isu-isu berkaitan masyarakat Melayu yang didakwanya gagal diselesaikan oleh kerajaan semasa.

Mengulas lanjut, Zaid berkata pembangkang perlu menawarkan satu wajah baru yang “tulen, berwibawa dan memberi inspirasi” kepada rakyat sekiranya benar-benar mahu menumbangkan kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim.
“Saya mencadangkan pembentukan satu kumpulan kepimpinan baru: terdiri daripada 20 rakyat Malaysia yang berkebolehan, sebaiknya di bawah umur 50 tahun, yang terbukti berintegriti dan berjaya dalam bidang masing-masing – politik, perniagaan, akademik, masyarakat sivil dan keusahawanan.
“Kumpulan ini wajar diperkenalkan secara terbuka sebagai teras kepada barisan kepimpinan negara masa hadapan.
“Tugas mereka merangka pelan jelas dan praktikal untuk masa depan Malaysia – dengan fokus kepada reformasi pendidikan, pemulihan ekonomi, kemajuan teknologi dan disiplin fiskal. Ini bukan sekadar slogan kabur atau manifesto kitar semula.

“Ia perlu menjadi pelan berpusatkan rakyat, bersifat realistik dan digerakkan oleh keazaman,” katanya.
Zaid turut menegaskan kumpulan itu mesti terdiri daripada individu “yang mewakili spektrum yang luas dan inklusif”, serta bukan pemimpin parti sedia ada yang memiliki idea lapuk dan reputasi yang dipertikai.
“Wawasan baru untuk Malaysia ini mesti benar-benar berbeza dengan retorik Madani yang ada sekarang. Ia perlu dibina atas asas keikhlasan, kompetensi dan komitmen mendalam untuk berkhidmat kepada rakyat – bukan demi cita-cita peribadi atau mahu mengembalikan kuasa yang hilang.
“Tidak sukar untuk menewaskan Anwar Ibrahim – jika perjuangan ini dipimpin oleh mereka yang benar-benar komited terhadap masa depan Malaysia, bukan individu yang ingin menyelesaikan masalah peribadi dari sudut undang-undang atau politik.
“Rakyat bersedia untuk mendengar – tetapi mereka perlu ditawarkan sesuatu yang nyata, berwibawa dan memberi harapan,” kata Zaid lagi.
