Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KM setuju kaji semula diskaun perumahan India Muslim, kata Sim
Diterbitkan:  Jun 8, 2025 9:55 AM
Dikemaskini: 1:55 AM

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow bersetuju untuk mengkaji semula tawaran diskaun lima peratus bagi pembelian hartanah kediaman dan komersial buat masyarakat India Muslim di bawah Kempen Pemilikan Rumah Madani (MOC).

Dalam satu kenyataan, Pengerusi DAP Pulau Pinang, Steven Sim berkata dia telah membincangkan isu itu dengan Chow, yang bersetuju untuk membawanya ke mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) untuk perbincangan lanjut.

Steven Sim

Sim menjelaskan bahawa inisiatif itu bertujuan menangani isu lambakan unit hartanah tidak terjual di Pulau Pinang.

“Saya telah mengambil maklum maklum balas orang ramai mengenai pemberian diskaun lima peratus kepada komuniti India Muslim bagi tujuan pembelian unit hartanah tidak terjual di Pulau Pinang.

“Sebagai sebuah parti yang diasaskan atas Perlembagaan Persekutuan, DAP sentiasa memperjuangkan keadilan dan kebajikan untuk semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum dan agama.

“Saya telah membincangkan perkara ini dengan Chow... Beliau bersetuju bahawa isu ini perlu dibawa untuk semakan dan perbincangan dalam mesyuarat exco kerajaan negeri akan datang.

“Adalah penting bagi kerajaan Pulau Pinang untuk terus menjunjung prinsip keadilan sosial dan memastikan hak setiap rakyat Malaysia untuk memiliki rumah sentiasa dilindungi,” kata Sim, yang juga menteri sumber manusia.

Chow Kon Yeow

Pada 5 Jun lalu, Exco Perumahan dan Alam Sekitar Pulau Pinang, S Sundarajoo mengumumkan bahawa kerajaan negeri akan memberikan diskaun khas lima peratus kepada masyarakat India Muslim untuk pembelian hartanah kediaman dan komersial di bawah MOC.

Inisiatif ini, yang diperkenalkan di bawah Dasar Pemangkin Sektor Hartanah Inklusif Madani, akan berlangsung dari 1 Jun 2025 hingga 31 Mei 2026, dengan matlamat untuk merangsang jualan hartanah.

Keuntungan yang tidak adil

Bagaimanapun, peguam hak asasi manusia, Rajesh Nagarajan pada Jumaat lalu mengkritik keputusan kerajaan negeri untuk menawarkan diskaun eksklusif itu, dengan menyatakan bahawa dasar berkenaan melanggar Perkara 8(1) dan 8(2) Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin kesamarataan semua individu di sisi undang-undang dan perlindungan yang sama di bawahnya.

“Inisiatif ini sangat memecahbelahkan, bersifat diskriminasi, dan tidak boleh diterima. Ia secara terang-terangan memihak kepada satu kumpulan kaum dan agama tertentu dengan menafikan hak kelompok lain, dan bertentangan dengan prinsip asas keadilan dan kesaksamaan yang sepatutnya menjadi panduan dasar awam.

Rajesh Nagarajan

“Kenapa kerajaan Pulau Pinang memberi ganjaran kepada rakyat India yang beragama Islam tetapi mengetepikan mereka yang beragama Kristian, Buddha, Hindu, Baha’i atau Sikh? Jika ini bukan diskriminasi, saya tidak tahu apa lagi,” katanya.

Rajesh menegaskan bahawa Perlembagaan secara jelas melarang diskriminasi atas dasar agama, kaum atau keturunan.

Dia menuntut supaya dasar itu ditarik balik serta-merta, dan menegaskan bahawa dana awam dan inisiatif yang digerakkan oleh kerajaan negeri mesti berkhidmat untuk kepentingan semua rakyat Malaysia tanpa sebarang prejudis kaum atau agama.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS