Ketua Polis Negara, Razarudin Husain hari ini menjelaskan bahawa aktivis dan artis grafik Fahmi Reza sebenarnya tidak disekat daripada meninggalkan negara — sebaliknya hanya diletakkan dalam "senarai pemantauan" Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Penjelasan ini hadir selepas aktivis berkenaan mendakwa semalam bahawa dia telah "disenarai hitam" dan dihalang keluar negara ketika ingin menaiki penerbangan ke Singapura.

Menurut Razarudin, Fahmi — atau nama penuhnya Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin — tidak tertakluk kepada sekatan rasmi perjalanan, sebaliknya namanya dimasukkan dalam senarai pemantauan PDRM kerana masih terlibat dalam siasatan.
“Senarai ini bukan sekatan pergerakan. Ia sebahagian daripada prosedur pemantauan dalaman PDRM,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurut Razarudin terdapat kekeliruan semasa proses semakan di pintu keluar negara semalam yang menyebabkan Fahmi tersangkut, dan perkara itu sedang diteliti.
“Langkah sewajarnya akan diambil bagi memperkemaskan prosedur sedia ada.

"PDRM kekal komited dalam melindungi dan menghormati hak kebebasan bergerak setiap rakyat Malaysia.
"Individu itu bebas untuk melakukan perjalanan keluar dan masuk seperti biasa tertakluk kepada peraturan yang ditetapkan oleh Jabatan Imigresen dan undang-undang berkaitan," katanya lagi.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini mengarahkan pihak polis untuk memberi penjelasan dan menyemak tindakan melarang Fahmi ke luar negara itu.
Menerusi kenyataan ringkas Pejabat Perdana Menteri berkata kerajaan Madani menjunjung tinggi kebebasan individu selagi mana ia tidak menjejaskan keselamatan negara atau melanggar undang-undang sedia ada.
Semalam, Fahmi dalam satu hantaran di media sosial mendakwa dirinya disenarai hitam daripada keluar negara selepas dia dihalang daripada berlepas ke Singapura.
Dakwanya, dirinya tidak dibenarkan keluar negara atas arahan Bukit Aman dan perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh pegawai Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Tindakan menghalang Fahmi daripada keluar negara berlaku hanya seminggu selepas dia dihalang memasuki Sabah, yang didakwa atas arahan Pejabat Ketua Menteri.
Dia dihantar pulang sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu selepas diberikan notis penolakan masuk.
Fahmi sebelum ini pernah ditahan di negeri itu kerana memaparkan karikatur yang menyentuh pelantikan Musa Aman sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah dan dakwaan korupsi lampau yang dikaitkan dengannya.
Musa sebelum ini berdepan 46 pertuduhan berkaitan kes konsesi balak, namun semua dakwaan itu digugurkan pada 2020 selepas pendakwaan menarik semula kes.
