mk-logo
Berita
Rafizi: Henti intimidasi pasal bagi pendapat pemilihan PKR
Diterbitkan:  Jun 9, 2025 4:17 PM
Dikemaskini: 8:17 AM

Bekas Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli menggesa agar segala bentuk intimidasi oleh pihak berkuasa terhadap penjawat awam dan orang awam berhubung perbezaan pandangan mengenai pemilihan parti baru-baru ini dihentikan serta-merta.

Dalam satu kenyataan hari ini, Rafizi berkata dia menerima pelbagai aduan sepanjang minggu lalu melibatkan tindakan penguatkuasaan terhadap individu yang berkongsi pandangan peribadi mengenai pemilihan PKR.

“Jika pun perbezaan pendapat mengenai perjalanan dan keputusan pemilihan PKR 2025 dilihat tidak sealiran dengan kepimpinan Kerajaan Persekutuan, ia adalah satu cabaran yang wajar ditangani dengan berhemah.

"Sebarang bentuk tekanan atau intimidasi akan menguatkan lagi persepsi rakyat bahawa pentadbiran sekarang cepat menggunakan kuasa dan tidak mempertahankan hak rakyat untuk berbeza pandangan.

"Sejak seminggu lepas, saya telah menerima aduan-aduan daripada orang biasa yang telah diambil tindakan yang berbeza-beza,” katanya.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata dia dimaklumkan ada antara mereka diberitahu kandungan yang dikongsikan melanggar undang-undang manakala yang lain pula didatangi pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta polis "dengan alasan ingin berjumpa tanpa sebarang dokumen rasmi.”

Hari ini, Rafizi turut mendedahkan senarai pengguna X yang didakwa membuat aduan mengenai intimidasi tersebut, termasuk laporan polis yang dibuat oleh isteri salah seorang individu terlibat.

“Kandungan di platform X yang disiasat selalunya adalah pandangan peribadi seorang rakyat biasa mengenai perjalanan atau keputusan pemilihan pemilihan PKR 2025,” tambahnya.

Selindung di belakang menteri

Sementara itu, Rafizi berkata dia yakin Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil tidak mengeluarkan sebarang arahan kepada agensi penguatkuasaan untuk bertindak terhadap individu-individu tersebut.

“Kemungkinannya, ada watak-watak tertentu yang berselindung di belakang nama-nama menteri mereka, yang memberi arahan kepada SKMM atau PDRM untuk menekan orang awam, hanya kerana pandangan mereka mengenai pemilihan KEADILAN 2025 tidak sealiran dengan pandangan watak-watak ini.

"Oleh itu, saya menasihatkan supaya perkara ini dihentikan serta-merta.

"Saya telah pun berbincang dengan peguam-peguam sukarela yang akan mewakili orang awam yang dikenakan intimidasi seperti ini. Jika ada pelanggaran peraturan atau undang-undang, orang awam yang menjadi mangsa intimidasi seperti ini akan dinasihati untuk mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya,” tegasnya.

Rafizi turut mengingatkan para pemimpin politik agar tidak mencampuradukkan pandangan politik dengan urusan rasmi kerajaan dan menggesa penjawat awam agar tidak tunduk kepada tekanan untuk terlibat dalam tindakan bermotifkan politik.

Dalam pemilihan pusat PKR bagi penggal 2025-2028 yang baru berakhir, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mempertahankan jawatan presiden tanpa dicabar manakala Rafizi tewas kepada Nurul Izzah Anwar dalam saingan sengit merebut kerusi nombor dua parti.

Pemilihan PKR kali ini turut menyaksikan kekalahan ramai pemimpin yang sehaluan dengan Rafizi.

Ahli parlimen dan ketua cabang PKR Pandan itu akhirnya menunaikan janji meletakkan jawatan menteri ekonomi, diikuti oleh Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad yang meletak jawatan sebagai menteri sumber asli dan kelestarian alam sekitar selepas gagal mempertahankan jawatan ketua bahagian dan naib presiden.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS