Bekas Menteri Undang-undang, Zaid Ibrahim menggesa Peguam Negara Dusuki Mokhtar untuk bertindak sewajarnya dengan memulakan prosiding penghinaan mahkamah terhadap individu yang didakwa menyerang Hakim Mahkamah Tinggi, Hakim Roz Mawar Rozain di media sosial kerana menolak permohonan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam saman sivil oleh Yusoff Rawther.
“Tidakkah AG (Peguam Negara) wajar bertindak dengan memulakan prosiding penghinaan mahkamah terhadap samseng atau pihak yang menjadi dalang serangan ke atas hakim?
“Dan tidakkah MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) juga patut menarik turun bahan-bahan bodoh dan berunsur fitnah ini dari internet,” kata Zaid Ibrahim menerusi satu hantaran di platform X.
Zaid, yang pernah memegang jawatan menteri undang-undang menyifatkan keputusan hakim itu telah mencetuskan tindak balas daripada penyokong Anwar.

“Serangan sebegini boleh memberi tekanan atau mengintimidasi badan kehakiman sebelum perbicaraan penuh berlangsung, terutama jika orang awam dipengaruhi untuk melihat sebarang keputusan yang tidak memihak kepada perdana menteri sebagai tidak adil atau bermotifkan politik.
“Mahkamah satu-satunya tempat yang sah untuk berhujah mengenai imuniti — bukan TikTok, bukan Facebook dan pastinya bukan melalui kenyataan media yang mengelirukan.
“Penghormatan terhadap proses kehakiman menuntut agar semua pihak membenarkan perkara ini diselesaikan sepenuhnya di hadapan hakim, berdasarkan fakta dan undang-undang — bukan putar belit dan manipulasi,” tambahnya.
Zaid menegaskan kebebasan kehakiman bukan sekadar kebal daripada campur tangan tetapi juga bergantung pada kematangan awam dalam memahami peranan mahkamah.

“Kebebasan kehakiman bukan hanya soal menangkis campur tangan secara langsung, tetapi juga bergantung kepada kematangan masyarakat menerima bahawa keputusan mahkamah dibuat berdasarkan undang-undang dan fakta — bukan kesetiaan politik,” katanya.
Saman sivil tersebut difailkan oleh Yusoff pada tahun 2021, yang mendakwa Anwar telah melakukan serangan seksual terhadapnya pada Oktober 2018 di pejabat Presiden PKR.
Anwar sebelum ini memohon untuk merujuk lapan persoalan perlembagaan ke Mahkamah Persekutuan, yang berkisar sama ada beliau menikmati kekebalan daripada prosiding sivil.
Namun, pada 4 Jun lalu, Hakim Roz Mawar memutuskan persoalan yang dibangkitkan tidak memenuhi tahap kelayakan yang diperlukan. Perbicaraan dijadualkan berlangsung pada 16 Jun.
Sebagai maklum balas, Anwar menegaskan permohonan tersebut bukan bertujuan untuk melindungi dirinya secara peribadi.
“Perkara ini tidak pernah mengenai mencari imuniti peribadi atau melarikan diri dari pemeriksaan undang-undang.
"Ia membabitkan integriti sistem perlembagaan kita dan keperluan untuk memastikan bahawa jawatan awam yang tinggi dilindungi daripada litigasi yang mungkin mengikut masa yang strategik, bermotifkan politik, atau mengganggu institusi," kata Anwar.
