Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Agensi k'jaan diterajui PKR diguna membungkam suara ahli sendiri'
Diterbitkan:  Jun 10, 2025 9:52 AM
Dikemaskini: 1:54 AM

Seorang peguam yang dekat dengan PKR menyatakan dia bagai mengalami deja vu apabila didatangi tiga ahli parti berkenaan yang ingin mendapatkan nasihat undang-undang selepas mendakwa disiasat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Tindakan tersebut, katanya, diambil selepas individu terbabit membuat hantaran berkenaan proses pemilihan PKR yang berlangsung baru-baru ini.

Menurut Ahmad Nizam Hamid dia dimaklumkan hantara mereka dibuat di platform X dan berisi kritikan terhadap cara PKR mengendalikan pemilihan.

Kata Ahmad Nizam, berdasarkan penelitiannya hantaran berkenaan tidak bersifat subversif atau menyentuh isu sensitif.

Pun begitu, katanya, dia melihat pegawai MCMC begitu “efisien” mengesan pengguna X berkenaan, malah dimaklumkan ada yang “berkampung di dalam kereta di depan rumah” individu berkenaan.

Pegawai agensi penguat kuasa juga, dakwa peguam berkenaan, ada yang sanggup ke Langkawi untuk mendapatkan keterangan individu yang disiasat.

“Sementara kita mengagumi kecekapan yang agak luar biasa oleh pegawai-pegawai MCMC dan Polis Diraja Malaysia, pada masa yang sama kita juga melihat bahawa tindakan sebegini – yang terancang dan sangat cenderung menutup atau cuba menutup, malah berbentuk intimidasi oleh aparat negara terhadap rakyat biasa (dalam konteks ini anggota PKR) – adalah bertujuan menutup dissenting voices dan sangat mendukacitakan,” katanya malam tadi.

Semalam bekas Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, menggesa pihak berkuasa menghentikan intimidasi terhadap penjawat awam dan orang ramai yang berbeza pandangan terhadap pemilihan parti itu baru-baru ini.

Tawar khidmat percuma

Dalam kenyataan yang dikeluarkannya, Ahli Parlimen Pandan itu, mendakwa dia menerima pelbagai aduan sepanjang minggu lalu melibatkan tindakan penguatkuasaan terhadap individu yang berkongsi pandangan peribadi mengenai pemilihan PKR.

Katanya perbezaan pandangan itu sepatutnya ditangani secara berhemah.

"Sebarang bentuk tekanan atau intimidasi akan menguatkan lagi persepsi rakyat bahawa pentadbiran sekarang cepat menggunakan kuasa dan tidak mempertahankan hak rakyat untuk berbeza pandangan.

Rafizi berkata dia dimaklumkan ada antara mereka didatangi pegawai MCMC serta polis.

Dia turut mendedahkan senarai pengguna X yang didakwa membuat aduan mengenai intimidasi tersebut, termasuk laporan polis yang dibuat oleh isteri salah seorang individu terlibat.

Ahmad Nizam berkata langkah menekan dan mengganggu orang awam sebegitu pernah berlaku semasa kerajaan dipimpin Dr Mahathir Mohamad.

“Paling malang, agensi kerajaan yang diterajui oleh PKR (sekarang) digunakan membungkam suara anggotanya sendiri!

“Apakah ini deja vu?” tulisnya.

Justeru menurut Ahmad Nizam, dia bersama seorang lagi peguam - Saiful Izham Ramli – serta yang lain mengambil tanggungjawab atas kapasiti sebagai peguam bela menawarkan khidmat guaman kami secara pro bono kepada mereka atau individu yang menjadi ‘mangsa’ MCMC terkait isu berkenaan.

Perbuatan intimidasi dan menggunakan penguat kuasa negara, katanya, adalah ‘dosa besar’ dalam kehidupan bernegara dan upaya menyuburkan demokrasi sebagai amalan dan cara hidup.

Bahkan, tambah Ahmad Nizam, langkah tersebut jelas bertentangan dengan falsafah dan prinsip yang digariskan dalam kerangka Madani.

“Kami sudah punya pengalaman lebih dua dekad mendepani isu semacam ini dan hari ini kami bersedia mempertahankan hak kebebasan bersuara, mengkritik dan berbeza pandangan.

“Tampaknya seperti pengulangan pengalaman silam tatkala negara diliputi awan gelita dek suara-suara rakyat disekat.

“Negara ini indah dan kaya. Keindahan ini sangat wajar diurus tadbir oleh individu yang berjiwa besar dan bersedia menerima perbezaan pendapat sebagai rahmat, bukan sebaliknya,” kata Ahmad Nizam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS