Cabaran berpanjangan yang dihadapi individu transgender ketika berurusan dengan kakitangan awam di Malaysia masih berterusan - terutamanya dalam hal berkaitan dokumen pengenalan diri.
"Mana ada transnita yang tidak keruan bila berurusan dengan dokumen pengenalan diri.
“Semua transnita seluruh dunia kecuali di Singapura dan Indonesia (trans yang sudah menjalani SCS – menukar alat kelamin) faham benar debarannya," kata penulis Regina Ibrahim.
Dalam catatan Facebook, Regina berkongsi pengalaman terbarunya memperbaharui MyKad dan pasport di UTC Komtar, Pulau Pinang - proses yang dikendalikan secara profesional.
Dihubungi Malaysiakini, Regina memberi penghargaan kepada usaha advokasi konsisten selama bertahun-tahun bersama doktor, sistem penjara, polis dan agensi lain yang menyumbang kepada perubahan positif dalam layanan terhadap individu trans.
"Mungkin mereka juga telah banyak membaca tentang cabaran komuniti transgender - atau mungkin mereka sendiri mempunyai saudara transgender," tambahnya.
Mengimbas pengalaman lalu, Regina berkata sistem giliran yang lebih baik di bank, hospital dan agensi kerajaan turut membantu.
"Sistem nombor giliran nampaknya berkesan ketika berurusan di bank, hospital dan agensi kerajaan. Dahulu, nama lelaki (seperti tercatat pada MyKad wanita trans) sering dipanggil - sama ada sengaja atau tidak," kata Regina yang kini berusia 60-an.
Dia mengingatkan bahawa individu trans juga perlu menjaga kesedaran diri di khalayak ramai.
"Berpakaian sopan, tidak cepat melenting, berani bersuara dengan jelas dan mematuhi syarat syarat yang dikenakan," nasihatnya.
Antara keperluan tersebut termasuk menanggalkan solekan dan perhiasan, serta memakai kot bagi individu trans yang MyKad-nya masih menggunakan nama lelaki - tanpa mengira prosedur yang mungkin telah dilalui.
Dalam catatannya, Regina menceritakan bagaimana pegawai imigresen memberitahunya bahawa MyKad perlu diganti sebelum boleh memperbaharui pasport.
"Mengambil nombor dan dilayan oleh (seorang) pegawai…
“Diterangkanlah pada beliau bahawa saya memerlukan kad pengenalan untuk mendapatkan passport, dia begitu memahami sekali," katanya.
Regina turut berkongsi bahawa dia menerima perkhidmatan cekap pada setiap peringkat.
“Tiba masa untuk difoto saya teringat penulisan artikel serta cadangan lama untuk JPN bila melibatkan manusia transnita.
“Foto akan diketik di situ juga tetapi alit bibir dan pemerah pipi diarahkan padam, begitu juga subang bulat perlu ditanggalkan.
“Sebagai veteran tidaklah saya berkecil hati lagi kerana mengerti bahawa mereka para pegawai hanya menjalankan tugas…," jelasnya.
Dia menambah bahawa pegawai berkenaan berulang kali memohon maaf dan merujuk kepada penyelia bagi memastikan foto dan cap jari barunya diterima.
Kemudian, Regina ditunjukkan rekod cetakan kad pengenalannya sejak berusia 12 tahun.
"Saya terkesima seketika, melihat bukan sahaja perubahan rupa fizikal tetapi juga perjalanan hidup peribadi. Sebelum pulang, saya mengucapkan terima kasih sambil berjabat tangan dengannya."
Dengan memegang kad pengenalan sementara, dia kemudian ke kaunter imigresen.
“Dengan Salinan kad pengenalan sementara melangkahlah pula ke kaunter imigresen, cuak melihat ramai orang, tetapi menanti tidak lama kerana ia nombor warga emas.
“Urusan juga tidak sesukar mana, alit bibir saya kenakan semula. Cuma pegawai meminta subang bulat dicopot.
“Pembayaran menggunakan kad debit RM100. Beliau meminta saya kembali pada 10.30 pagi. Urusan di kaunter imigresen UTC Komtar begitu efisien sekali,” kata Regina yang berjaya pulang ke rumah 30 minit kemudian–sempat singgah membeli barang runcit.