Artis dan aktivis Fahmi Reza menghantar surat tuntutan undang-undang kepada pihak berkuasa bagi menuntut pampasan selepas dia dihalang daripada meninggalkan negara.
"Dear ketua polis negara, ketua pengarah imigresen dan menteri dalam negeri.
"Seminggu dah berlalu, tapi masih tiada siapa berani mengaku bertanggungjawab atas pelanggaran hak aku.
"Tak apa. Surat cinta pertama sudah selamat ku hantar...

"Pecah kaca, pecah gelas, sudah baca, harap balas.
"Kamu ada tujuh hari. Mari menari," katanya pada hantaran di media sosial.
Surat tersebut, yang dihantar pada hari Jumaat, turut menuntut agar nama Fahmi dikeluarkan daripada sebarang senarai pemantauan polis serta menarik balik sebarang sekatan perjalanan terhadapnya.
Surat itu dihantar kepada pejabat Ketua Polis Negara, Ketua Pengarah Imigresen, dan Menteri Dalam Negeri. Mereka diberi tempoh tujuh hari untuk memberikan maklum balas.

Fahmi diwakili oleh firma guaman milik peguam Yohendra Nadarajan.
Tindakan undang-undang itu dimulakan setelah Fahmi mendapati tiada satu pun pihak yang bertanggungjawab terhadap kekeliruan yang menyebabkan beliau dihalang meninggalkan negara pada 7 Jun lalu.
Ketua Polis Negara, Razarudin Husain berkata halangan itu berlaku disebabkan kesilapan, dan menegaskan bahawa Fahmi sebenarnya tidak disekat daripada ke luar negara.
Sebaliknya, Fahmi hanya berada dalam senarai pemantauan polis sebagai individu yang sedang disiasat.

Fahmi kini disiasat di bawah Akta Hasutan susulan penerbitan karikatur yang menggambarkan bekas Yang di-Pertua Negeri Sabah, Musa Aman, sebagai individu korup.
Sementara itu, pada Khamis, Fahmi mendapati laman web Imigresen versi Bahasa Melayu kini memaparkan mesej bahawa dia perlu merujuk kepada pejabat imigresen sebelum meninggalkan negara — berbeza daripada semakan sebelum ini yang tidak menunjukkan sebarang sekatan.
Jabatan Imigresen padasatu maklum balas menjelaskan sekatan perjalanan itu hanya tertakluk kepada Sabah dan bukan melibatkan perjalanan ke luar negara.
Sebagai makluman, Sabah mempunyai kuasa autonomi ke atas sempadannya sendiri, termasuk dalam hal kemasukan individu dari Semenanjung Malaysia.
