Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS nafi PN nak rombak kepimpinan, tambah kuasa Hamzah

PAS hari ini menafikan dakwaan rancangan menstruktur semula kepimpinan PN bagi memberi kuasa lebih besar kepada Timbalan Presiden Bersatu, Hamzah Zainudin.

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan (gambar bawah) menegaskan PN sebagai gabungan politik yang berdaftar terikat dengan perlembagaan parti dan segala perubahan perlu mengikut peraturan yang telah ditetapkan.

“Memang kita tertakluk kepada perlembagaan PN, tak boleh sewenang-wenangnya nak ubah, macam PAS juga, PN tak ada masalah apa-apa pun."

“Tapi digembar-gemburkan (rombakan kepimpinan) sebab kita punya gabungan stabil, PN Best, ada orang cuba nak keruhkan kestabilan. Kita tiada masalah apa, PAS dan Bersatu kekal."

“Dalam perlembagaan PN kena ada seorang pengerusi, sekarang dari awal (Muhyiddin Yassin), jadi di situ tak pernah persoal apa,” katanya dalam sidang media di Kota Bharu hari ini.

Kenyataan PAS susulan laporan Malaysiakini semalam yang mendakwa terdapat cadangan rombakan struktur PN dengan memberi kuasa operasi besar kepada Hamzah.

Menurut laporan itu, jawatankuasa eksekutif diketuai Hamzah akan diwujudkan manakala presiden empat parti komponen (PAS, Bersatu, Gerakan dan MIPP) akan terus kekal dalam Majlis Tertinggi PN sedia ada.

Sumber turut memaklumkan cadangan tersebut bertujuan menyediakan Hamzah untuk menerajui gabungan sekiranya berlaku perubahan kuasa di peringkat pusat pada pilihan raya umum akan datang.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man pada sidang media sama memaklumkan PN bersetuju untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas melibatkan lima wakil daripada setiap parti komponen bagi meneliti penambahbaikan dalam gabungan tersebut.

“Kita setuju untuk tubuh jawatankuasa khas (diwakili) lima orang setiap parti dan mandat diberi kepada lima orang ini untuk berbincang, jadi peringkat ini kita lantik lima orang dan akan berbincang.”

“Mesyuarat PN berjalan macam biasa, tak ada masalah cuma penambahbaikan itu sifatnya sentiasa ada bila kita hadapi situasi untuk perkukuhkan PN dan bersiap hadapi PRN Sabah.

“Jadi kita kena tengok balik macam mana strategi di Sabah dalam PN. Kita dah lantik lima orang setiap parti mereka akan teruskan,” jelasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS