Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Ada pihak beri maklumat palsu untuk keruhkan hubungan PAS, Bersatu'
Diterbitkan:  Jun 15, 2025 12:24 PM
Dikemaskini: 4:24 AM

Bersatu hari ini menyambut baik kenyataan dua pemimpin kanan PAS baru-baru ini yang menafikan parti itu mencadangkan penstrukturan semula kepimpinan PN.

Merujuk kepada laporan Malaysiakini Ketua Penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail Aziz berkata parti itu menyambut baik penjelasan diberikan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dan setiausaha agungnya Takiyuddin Hassan.

“Kenyataan dua pemimpin kanan PAS itu menjelaskan bahawa sumber yang dipetik Malaysiakini sebelum ini memberikan maklumat palsu dan bertujuan merosakkan hubungan baik Bersatu dan PAS dalam PN,” katanya di media sosial.

Tun Faisal yang juga bekas Pengarah Komunikasi Strategik di Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) mengingatkan dia membenarkan Malaysiakini memetik namanya sebagai sumber berita sebelum ini manaka “sumber dalaman” lain bertindak sebaliknya.

Katanya hal itu membuktikan dia bercakap tentang sesuatu yang benar dan berfakta, sedangkan “sumber dalaman” yang dilaporkan itu bertindak sebaliknya.

“Alhamdulillah, kenyataan dua orang pemimpin kanan PAS itu telah mengesahkannya,” kata ahli politik yang turut pernah dilantik sebagai Ketua Penerangan Umno Malaysia itu.

Sebelum ini Malaysiakini melaporkan bahawa ada usaha agar Timbalan Presiden Bersatu merangkap Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin diberikan kuasa operasi yang lebih besar untuk PN.

Laporan tak tepat

Langkah itu didakwa sumber terbabit adalah untuk menyediakan Hamzah mengetuai PN jika berlaku perubahan dalam kerajaan persekutuan selepas PRU akan datang.

Bagaimanapun semalam Malaysiakini melaporkan penafian daripada PAS. Menurut Takiyuddin, sebagai gabungan politik yang besar, PN terikat dengan perlembagaan parti dan segala perubahan perlu mengikut peraturan yang telah ditetapkan.

Kata Ahli Parlimen Kota Bharu itu lagi, sebarang perubahan tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya.

Untuk rekod Malaysiakini pada 10 April ada melaporkan bahawa Tuan Ibrahim berkata PN dijangka melaksanakan rombakan struktur kepimpinannya selepas gabungan itu setuju menubuhkan jawatankuasa bagi menilai penambahbaikan organisasi.

Kata Tuan Ibrahim langkah menambah baik struktur parti berkenaan bakal dilaksanakan secara menyeluruh dan cadangan berkenaan sudah dipersetujui oleh majlis tertinggi PN.

Dalam kenyataan sama hari ini, Tun Faisal turut menafikan dakwaan sumber terbabit bahawa Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan menghadiri mesyuarat melibatkan 10 pemimpin kanan PN pada 18 Feb lalu.

"Wan Saiful tidak terlibat dalam mesyuarat itu. Cadangan penstrukturan semula yang dikatakan akan ditentang oleh puak Azmin Ali juga tidak tepat.

“Sebarang keputusan yang melibatkan dasar parti dibuat secara konsensus oleh Biro Politik Bersatu, Majlis Pimpinan Tertinggi dan Majlis Tertinggi PN,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS