Peguam Muhammad Yusoff Rawther membidas beberapa individu mendakwa mewakili sebuah NGO selepas mereka membuat laporan polis dan mengaitkan bekas pembantu penyelidik Anwar Ibrahim itu mempunyai kaitan dengan agensi perisikan Israel, Mossad.
Kata Rafique Rashid Ali, individu yang mengetuai NGO Nadi Gemilang Amal berkenaan – dikenali sebagai Dzul Hilmi Zainol – merupakan exco Pemuda PKR (AMK).
Justeru kata Rafique, Dzul Hilmi wajar “menyamar” untuk mengelirukan orang ramai.
"Diharapkan ahli AMK yang menyamar sebagai NGO itu berhenti bermain politik. Orang ramai sudah muak," katanya kepada Malaysiakini.
Rafique turut mempersoalkan motif di sebalik tindakan mereka mengungkit kenyataan yang didakwa dibuat oleh Yusoff pada 2017 apabila dia menyatakan sokongan kepada Israel dan menolak tuntutan Arab ke atas Baitulmaqdis.
“Jika Yusoff benar-benar dikaitkan dengan Mossad, mengapa Anwar mengupahnya pada 2018?” katanya.
Semalam NGO itu dilaporkan menggesa dakwaan yang mengatakan Yusoff mungkin merupakan proksi atau ejen untuk Mossad susulan kenyataan dia menyokong kewujudan Israel, serta menolak tuntutan ke atas Baitulmaqdis.
NGO terbabit berkata kenyataan Yusoff itu masih boleh diakses di portal berita antarabangsa Israel dan menimbulkan kebimbangan serius tentang kemungkinan campur tangan asing di negara ini.
“Negara itu (Israel) tidak pernah kita iktiraf, malah ditolak keras oleh majoriti rakyat Malaysia atas jenayah kemanusiaan yang dilakukannya terhadap rakyat Palestin,” katanya.
Kata Rafique pihaknya mengakui mana-mana individu atau kumpulan berhak untuk membuat laporan polis.
Tetapi katanya pada masa sama pihak berkuasa perlu turut menyiasat laporan yang difailkan oleh Yusoff pada 12 Sept 2024 yang menamakan Anwar dan bekas pembantu perdana menteri terbabit, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, terkait dakwaan terlibat dengan dadah atau senjata api.
Peguam itu juga mempersoalkan sikap berdiam diri AMK apabila Anwar dikritik kerana menjawab "ya" kepada kedua-dua soalan yang dikemukakan oleh hos stesen penyiaran CNN, Richard Quest, berkenaan hak Israel untuk wujud dan mempertahankan dirinya.
"Di manakah AMK ketika itu? Adakah Israel tidak 'cukup' dalam isu pada masa itu?
"Berhentilah daripada mengalihkan perhatian atau mencipta naratif. Apa yang penting ialah, siapa yang meletakkan dadah dan pistol di dalam kereta Yusoff?" katanya.
