Pejabat Perdana Menteri (PMO) menyangkal dakwaan kerajaan Madani tidak melaksanakan reformasi adalah tidak berasas sama sekali.
"PMO ingin menegaskan dakwaan bahawa reformasi tidak berlaku adalah tidak berasas sama sekali.
“Agenda reformasi kerajaan sedang berjalan dengan konsisten, bukan hanya dalam sehari dan bukan sekadar dalam kenyataan, tetapi dalam tindakan berstruktur," kata Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah dalam taklimat harian, hari ini.
Terdahulu sesetengah pihak khususnya pembangkang antara lain mendakwa Perdana Menteri Anwar Ibrahim gagal dalam melaksanakan agenda reformasi yang dilaungkannya sebelum ini.
Dakwaan itu antara asas penganjuran Himpunan Turun Anwar anjuran Pemuda PAS, yang dijadual diadakan pada 26 Julai depan di Kuala Lumpur.
Malah Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden mendakwa Anwar menjadi ‘ibu’ kepada masalah yang berlaku dalam negara ketika ini.
Tunku Nashrul berkata, sejak awal pentadbiran selepas PRU15, Anwar menegaskan kerajaan akan sentiasa mendengar dan terbuka kepada kritikan membina.
Dia turut mengemukakan dua contoh pencapaian dalam reformasi ekonomi dan birokrasi.
"Malaysia di kedudukan ke-23 dalam indeks daya saing dunia (IMD), melonjak 11 anak tangga dan merekodkan kedudukan terbaik negara sejak 2020. Peningkatan ini bukanlah satu kebetulan tetapi hasil daripada komitmen berterusan seluruh jentera kerajaan madani.
"Ia membuktikan reformasi ekonomi ekonomi dan birokrasi membuahkan hasil dan kerangka ekonomi Madani terus memastikan ekonomi negara di landasan yang tepat.
"Kejayaan ini juga mencerminkan usaha kolektif dalam memperkukuh dasar fiksal, mempermudah urusan perniagaan serta mempercepatkan reformasi penyampaian perkhidmatan awam, termasuk lebih 1,000 inisiatif di bawah reformasi (terhadap) kerenah birokrasi," katanya.
Dia juga memaklumkan bahawa indeks persepsi birokrasi negara turut melonjak 22 anak tangga, yang menurutnya merupakan isyarat jelas bahawa langkah reformasi membuahkan hasil yang nyata.
