Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Himpunan bantah URA ditukar jadi himpunan 'Turun Anwar'

Perkembangan pelbagai isu semasa negara yang didakwa berpunca daripada Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi idea kepada Pemuda PAS untuk menukar nama himpunan yang dirancang berlangsung pada 26 Julai di Kuala Lumpur.

Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata perancangan awal mengadakan perhimpunan bagi membantah cadangan kerajaan memperkenalkan Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) ditukar kepada himpunan ‘Turun Anwar’.

“Daripada keseluruhan isu-isu yang berlaku sejak pentadbiran kerajaan Madani saya yakin semua puncanya adalah orang bernama Anwar Ibrahim.

“Maka Pemuda PAS mengisytiharkan himpunan pada 26 Julai nanti ditukar nama daripada himpunan membanta URA kepada himpunan ‘Turun Anwar’.

“Saya menyeru semua rakyat Malaysia, parti-parti politik termasuk penyokong PKR yang tidak berpuas hati dengan Anwar hadir pada himpunan ‘Turun Anwar’ nanti,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Afnan yang juga Ahi Parlimen Alor Setar mendakwa Anwar menjadi ‘ibu’ kepada masalah yang berlaku dalam negara ketika ini.

“Itulah punca masalah Malaysia hari ini. Tukar orang ini, insya-Allah selesai sedikit sebanyak masalah negara.

“Saya tak bermaksud kita nak tebuk atap, tetapi kami yakin ramai lagi orang yang layak untuk jadi perdana menteri dalam PH-BN,” katanya.

Terdahulu dia mengemukakan beberapa contoh isu yang dimaksudkan, antara lain melibatkan kes saman Yusoff Rawther kepada Anwar, kegagalan agenda reformasi, isu kebebasan bersuara, dan kenaikan kos sara hidup.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS