Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Bebas tapi balik ke penjara, Najib tetap sangat gembira'
Diterbitkan:  Jun 20, 2025 11:37 AM
Dikemaskini: 5:40 AM

Bekas perdana menteri Najib Razak "tetap sangat gembira" meskipun terpaksa kembali ke penjara selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi tadi melepas tanpa membebaskannya (DNAA) daripada tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana syarikat SRC International Sdn Bhd (SRC).

Menurut peguamnya, Muhammad Shafee Abdullah, Najib gembira kerana jumlah kes yang dihadapinya semakin berkurangan.

"Dia sangat gembira. Kini dia boleh tumpu perhatian kepada (kes) 1MDB sahaja," kata Shafee pada sidang media di luar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini.

Terdahulu, hakim K Muniandy membenarkan permohonan yang dikemukakan bekas perdana menteri atas alasan kes berkenaan berlanjutan begitu lama, manakala pihak pendakwaan dianggap tidak bersedia memulakannya dalam masa terdekat.

Untuk rekod, kes yang dibicarakan ini berbeza daripada satu lagi kes melibatkan Najib dan SRC.

Pada 3 Februari 2019, Najib, 72, didakwa atas tiga pertuduhan menerima RM27 juta hasil daripada aktiviti haram melalui tiga akaun AmPrivate Banking atas namanya di AmIslamic Bank Berhad yang terletak di bangunan Kumpulan Ambank di Jalan Raja Chulan, pada 8 Julai 2014.

Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun, denda hingga RM5 juta, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Najib kini menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022, susulan sabitan kesalahan menyeleweng RM42 juta dana milik SRC International.

Pada sidang media itu, Shafee berkata keputusan DNAA dalam kes ini membolehkan Najib didakwa semula apabila pihak pendakwaan bersedia.

“Tetapi kami berharap mereka tidak melakukannya kerana prejudis terhadap Najib sudah pun cukup.

“Kami merayu kepada peguam negara agar menggunakan budi bicara untuk menutup terus fail ini,” katanya.

Shafee berkata antara sebab hakim membenarkan DNAA adalah kerana pihak pendakwaan tidak bersedia.

Menurutnya, kes ini telah mengalami beberapa penangguhan berikutan permintaan daripada pasukan pendakwaan untuk mengumpulkan lebih 500 dokumen penting berkaitan kes.

“Jadi bila hakim bertanya pada bulan Mei yang lalu, adakah kemungkinan dokumen ini dapat diperolehi dgn secepat mungkin dan bila tarikhnya?

“Pihak pendakwa raya dengan jujurnya mengatakan, mereka tak boleh berikan komitmen sebab dia sendiri tak tahu.

“Itu adalah satu daripada sebab-sebab Yang Arif (hakim) ambil kira kes ini tidak akan berjalan dalam sedikit masa lagi. Tak boleh, dia mesti tangguh lagi.

“Jadi atas semuanya ini, Yang Arif membuat keputusan bahawa yang paling adil ialah untuk memberikan satu perintah DNAA sebab perintah DNAA ini tidak akan prejudis pihak pendakwaan.

“Malahan ia akan menegakkan keadilan sebab pihak yang kena tuduh tidak tertunggu-tunggu seperti dalam bahasa Inggeris dia katakan with the sword of damocles hanging over his head,” kata Shafee.

Peguam itu juga meluahkan pendapatnya bahawa tiga pertuduhan pengubahan wang haram itu sepatutnya dibicarakan bersama dengan kes pertama SRC International kerana pertuduhan di bawah Akta AMLA tidak boleh berdiri sendiri.

Selain itu, Shafee turut mengulas mengenai laporan polis yang dibuatnya bagi pihak Najib terhadap bekas peguam negara Ahmad Terrirudin Salleh berhubung isu titah addendum.

Menurutnya, pihak penjara tidak mempunyai halangan untuk membenarkan Najib membuat laporan itu sendiri, namun ia memerlukan kebenaran pihak berkuasa – iaitu Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail – yang tidak mengizinkannya.

“Kita dah tulis banyak kali kepada dia (Saifuddin). Tapi tak dapat jawapan. Daripada menteri bukan daripada penjara.

“Penjara kata dia tidak ada bantahan kalau menteri kata ok,” katanya lagi.

Pada Isnin, 16 Jun lalu, Shafee membantu Najib membuat laporan yang mendakwa Terrirudin telah “dengan sengaja” mengelirukan Mahkamah Tinggi apabila menyatakan bahawa kewujudan titah tambahan itu hanyalah spekulasi.

Bulan lalu, Najib mengemukakan permohonan menghina mahkamah terhadap Terrirudin, dengan Shafee mendakwa bahawa bekas peguam negara itu mempunyai pengetahuan langsung mengenai titah oleh Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Isu ini berkisar kepada satu titah tambahan yang dilaporkan dikeluarkan pada 29 Januari tahun lalu, yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.

Terrirudin adalah peguam negara ketika Lembaga Pengampunan bersidang tahun lalu dan memutuskan untuk mengurangkan hukuman penjara serta denda Najib berkaitan kes rasuah SRC International.

Najib kini bergantung kepada kewujudan titah tambahan itu untuk menyokong permohonan sivil di mahkamah agar Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Penjara melaksanakan tahanan rumah tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS