Peguam, Haniff Khatri Abdulla menggesa orang ramai agar tidak “menstigmakan” keputusan lepas tanpa bebas (DNAA) Najib Razak, dengan menegaskan bahawa keputusan undang-undang itu dibuat demi memastikan keadilan kepada semua pihak terlibat.
Haniff berkata dokumen-dokumen yang diperlukan pihak pendakwaan untuk mengemukakan kes terhadap bekas perdana menteri itu kini sedang digunakan dalam prosiding kes lain.
Justeru, dia berkata pendakwa raya dalam kes itu – yang melibatkan tiga pertuduhan pengubahan wang haram terhadap Najib membabitkan RM27 juta dana SRC International Sdn Bhd – berkemungkinan tidak dapat memperoleh dokumen-dokumen yang diperlukan.
“Rakyat tidak boleh melihat DNAA itu dengan stigma negatif kerana alasan utama DNAA diberikan adalah dokumen-dokumen yang diperlukan untuk memulakan perbicaraan kini sedang digunakan dalam perbicaraan jenayah dan sivil lain melibatkan SRC.
“Dalam undang-undang, (jika) dokumen-dokumen itu diguna pakai sebagai bukti dalam kes lain, kes ini tak boleh ‘mencuri’ atau mengambil dokumen-dokumen itu sekerat-sekerat. Perlu selesaikan (kes yang lain) dulu,” kata Haniff dalam pesanan suara hari ini.
Berdasarkan keadaan itu, Haniff berkata Jabatan Peguam Negara (AGC) sendiri yang sepatutnya memohon supaya Najib diberikan DNAA.
Namun, peguam kanan itu mengandaikan bahawa pihak pendakwaan memilih untuk tidak berbuat demikian kerana “takut dan bimbang” akan reaksi orang ramai.

Jika pihak pendakwaan sendiri yang memohon DNAA untuk Najib, katanya lagi, rakyat pasti akan marah, seperti mana yang berlaku dalam kes Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.
“DNAA (kes) Zahid itu salah, (tapi) tak semestinya semua keputusan DNAA salah,” katanya.
Jimatkan masa mahkamah
Haniff menegaskan DNAA terhadap Najib adalah “adil” kepada semua pihak, termasuk pembelaan, mahkamah, dan tertuduh sendiri.
“Tak perlu heret, angkut Najib (ke mahkamah) sekali, dua kali setiap bulan semata-mata untuk tangguh (prosiding). Mahkamah boleh guna masa untuk kes-kes lain
“Nanti apabila kes-kes SRC yang lain telah selesai, dokumen dilepaskan semula kepada pendakwa raya dan (Najib) boleh dituduh semula,” katanya lagi.
Hari ini, hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur K Muniandy membenarkan permohonan Najib untuk DNAA.
DNAA bermaksud tertuduh dilepaskan buat sementara daripada pertuduhan, tetapi boleh didakwa semula atas kesalahan yang sama pada masa akan datang jika pihak pendakwaan memutuskan untuk melakukannya.
Dalam penghakimannya, Muniandy antara lain berkata kes tersebut telah tertangguh sejak 2019 tanpa seorang pun saksi dipanggil.
Sebaliknya, kes itu berdepan penangguhan berterusan, menunjukkan bahawa pihak pendakwaan – yang masih belum memperoleh dan mengumpul dokumen penting untuk dijadikan bukti – belum bersedia untuk meneruskan perbicaraan.
Susulan itu, Ahli Parlimen PKR Rafizi Ramli menggesa pihak pendakwaan memberikan penjelasan mengenai kelemahan yang membawa kepada keputusan itu, sambil mempersoalkan mengapa pendakwaan mengambil masa terlalu lama untuk menyediakan dokumen yang diperlukan.
Dia juga meminta pihak pendakwaan memberi jaminan bahawa AGC akan memfailkan semula pertuduhan secepat mungkin dan memastikan semua dokumen lengkap supaya kes itu boleh diteruskan tanpa ditangguh lagi.
Najib kini sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyelewengkan dana RM42 juta milik SRC International dalam kes mahkamah yang berasingan.
