Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi menuduh pihak yang menentang keputusan mahkamah melepas tanpa membebaskan (DNAA) Najib Razak sebagai mengamalkan sikap dwistandard.
Dia juga mendakwa perkembangan itu menyaksikan Jabatan Peguam Negara (AGC) menjadi sasaran kecaman dua pihak yang berbeza dalam kes mahkamah melibatkan bekas perdana menteri berkenaan.
Pada masa sama Mohd Puad mendakwa pihak terbabit sebenarnya bimbang dengan keputusan tersebut akan memberi kesan kepada kedudukan Umno dalam politik negara.
Pihak yang membantah Najib diberi DNAA sebenarnya anti-Najib. Mereka takut Najib bebas.
"Jika Najib bebas bermakna Umno-BN akan bangkit semula," katanya dalam hantaran di media sosial hari ini.
Pihak terbabit, kata Mohd Puad, sebaliknya berdiam diri apabila lawan politik Umno yang diberikan DNAA oleh mahkamah seperti apa yang dilakukan Tommy Thomas - semasa dia menjadi peguam negara - menggugurkan sepenuhnya pendakwaan terhadap Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 20 Jun lalu memberikan status DNAA ke atas Najib yang berdepan dengan dakwaan pengubahan wang haram berjumlah RM27 juta pada 3 Feb 2019. Ia melibatkan dana syarikat SRC International Sdn Bhd (SRC).
Ia adalah kes kedua Najib yang melibatkan dana bekas anak syarikat 1MDB itu.
Ahli politik berusia 71 tahun berkenaan berdepan dengan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun hakim memberikan DNAA ke atas Najib ekoran perjalanan kes yang tertangguh lama dan pihak pendakwaan pula dilihat belum bersedia memulakannya dalam waktu terdekat.
Ia mengundang kritikan sesetengah pihak yang menggesa kerajaan segera mengembalikan keyakinan masyarakat terhadap sistem perundangan negara.
Kes mahkamah Lim pula melibatkan dua pertuduhan rasuah dan dia didakwa mendapatkan suapan bagi penukaran status tanah di Pulau Pinang, serta pembelian seunit banglo pada harga lebih rendah daripada pasaran.
Pada 3 Sept 2018 pihak pendakwaan memohon agar Lim diberikan DNAA atas dua pertuduhan berkenaan.
Bagaimanapun hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang Hadhariah Syed Ismail berpendapat ia tidak dapat diterima apabila pihak pendakwaan sudah menarik balik tuduhan yang dikenakan ke atas Lim serta seorang lagi tertuduh, Phang Li Koon.
Mohd Puad menegaskan bahawa pihak pendakwaan tidak dapat memulakan kes ke atas Najib kerana bukti yang diperlukan ketika ini sedang digunakan untuk kes lain.
"Apakah itu membuktikan pertuduhan terhadap Najib bertindih? Asalkan Najib dikenakan banyak pertuduhan hingga ada SRC 1.0 dan SRC 2.0?
"Sedangkan pertuduhan RM27 juta kes SRC 2.0 itu adalah sebahagian daripada RM42 Juta dalam kes SRC 1.0. Kenapa tidak tuduh sekali saja?
"Satu pihak lain pula mempersoalkan, kenapa (berlanjutan sehingga) enam tahun? Kenapa dakwa jika belum bersedia?
"Ini bukan setakat isu tangguh tetapi tatakelola dan profesionalisme pendakwaan oleh AGC," dakwanya.
Sebab itu, kata Mohd Puad, ada peguam yang berpendapat "penangguhan terpilih" seperti yang berlaku ke atas Najib bercanggah dengan Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan yang menegaskan hak seseorang untuk mendapatkan perbicaraan yang adil dan segera.
"Apakah Najib jadi mangsa kerana dia VVIP seperti dakwaan Tan Sri Shafie (Abdullah)?" katanya.
