Tindakan peserta penunjuk perasaan di Sabah yang membakar karikatur Perdana Menteri Anwar Ibrahim terus dikecam, kali ini oleh Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh.
Akmal menyifatkan peserta yang berbuat demikian sebagai bodoh dan kurang ajar.
Dia turut mengundang individu yang berbuat demikian untuk mengadakan pertemuan dengannya.
“Kalau pejuang perlu berani, tetapi bukan bodoh dan kurang ajar. Berani bukan bermakna kita harus hilangkan adab sebagai manusia.
“Kepada adik mahasiswa yang rasa berani kerana berjaya bakar gambar Anwar, anda sebenarnya seorang yang bacul dan bodoh.
“Jika tidak berpuas hati dengan kenyataan saya, boleh aturkan perjumpaan dengan saya. Tolong maklumkan saya tempat dan masa, Insya-Allah abang akan sampai untuk jumpa adik-adik depan-depan,” katanya.

Kata Akmal lagi, mereka yang pernah marah sebelum ini apabila imej pemimpin tidak dihormati sepatutnya turut berasa marah kali ini.
Hantarannya disertakan dengan gambar seorang penunjuk perasaan yang menunjukkan punggungnya di atas imej bekas perdana menteri Najib Abdul Razak dan isterinya, Rosmah Mansor.
Aksi membakar karikatur Anwar itu berlaku di akhir bantahan pelajar terhadap isu rasuah yang diadakan di Kota Kinabalu, Sabah pada Ahad lalu.
Karikatur Anwar yang dibakar itu turut disertakan kenyataan “Madani Pelindung Rasuah Sabah”.
Jurucakap Sekretariat Rakyat Benci Rasuah, Fadhil Kasim berkata kain rentang tersebut melambangkan kritikan pedas terhadap pentadbiran Anwar, yang didakwa mereka sebagai gagal menunaikan janji berkaitan reformasi institusi.
Antara kritikan lain terhadap Anwar adalah berhubung pelantikan Musa Aman sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah.
Pada 2018, Musa dikenakan 46 pertuduhan jenayah berkaitan kontrak konsesi balak di negeri itu.
Bagaimanapun, dia dibebaskan dan dilepaskan daripada semua pertuduhan apabila pendakwa raya menarik balik kes terhadapnya pada Jun 2020.
Membalas kritikan berkaitan pembakaran karikatur Anwar, Fadhil berkata dia mendapat inspirasi daripada protes mahasiswa yang pernah dipimpin Anwar sendiri, termasuk tindakan membakar buku mengenai rusuhan 13 Mei oleh Tunku Abdul Rahman.
