Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Pengembara hantu': AKPS pandang serius, mulakan siasatan
Diterbitkan:  Jun 24, 2025 12:46 PM
Dikemaskini: 4:46 AM

Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) memandang serius dan sudah melakukan siasatan berhubung kegiatan 'pengembara hantu' (phantom travelers) di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) seperti dilaporkan Malaysiakini pada Ahad lalu.

Menurut agensi berkenaan, mereka sentiasa bekerjasama rapat dengan Kementerian Dalam Negeri serta Jabatan Imigresen Malaysia bagi membuat penambahbaikan proses pemeriksaan di pintu-pintu masuk negara terutama di KLIA.

"AKPS tidak akan berkompromi dan melindungi mana-mana pegawai yang melakukan pelanggaran integriti yang mencemarkan nama baik dan imej jabatan.

"Tindakan dan hukuman akan diambil berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada termasuk buang kerja jika ada pegawai yang terbukti melakukan kesalahan," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Pada 22 Jun lalu Malaysiakini menyiarkan laporan mengenai kegiatan disyaki melibatkan kakitangan kerajaan yang keluar atau masuk negara tanpa didokumentasikan seperti sepatutnya.

Dengan bayaran tertentu, mereka dipercayai melancong ke luar negara tanpa dikesan oleh pegawai atasan.

Berdasarkan maklumat sumber, kegiatan itu melibatkan dua kumpulan kakitangan kerajaan.

Pertama kakitangan berjawatan tinggi dan mudah ke luar negara atau ke mana-mana kerana tidak ada pegawai atasan untuk memantau, manakala yang kedua, kakitangan berpangkat rendah yang dipantau oleh pegawai atasan.

Yakin dapat dihapuskan

Kalangan kumpulan kedua pula, dakwa sumber, mempunyai banyak duit namun sukar untuk berbelanja tanpa menimbulkan syak wasangka.

Difahamkan modus operandi mereka licik dan sukar dikesan jika tidak ada pengawasan rapi.

Ia termasuklah melibatkan pakatan kakitangan terbabit dengan pegawai imigresen yang bertugas di kaunter.

Jika kebanyakan orang akan menggunakan pagar automatik bagi urusan imigresen, mereka sebaliknya sengaja melalui kaunter manual yang dikendalikan oleh pegawai jabatan berkenaan.

Di situ pasport mereka dikatakan tidak diimbas, tidak dicop, atau direkodkan sebagai ke luar negara. Pegawai imigresen yang berada di kaunter berkenaan pula didakwa mengiringi mereka sehingga ke terminal berlepas.

Selepas melancong ke negara yang diingini, mereka dikatakan pulang ke Malaysia dengan cara sama - tanpa sebarang cop masuk dicatat dalam pasport. Dengan status itu mereka dianggap tidak pernah keluar dari negara ini.

Menurut sumber, bayaran yang dikenakan bagi khidmat tersebut adalah antara RM1,000 hingga RM1,500.

AKPS berkata dengan penggunaan pintu automatik sepenuhnya bagi pelepasan ke luar negara, pembangunan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) dan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), mereka percaya isu counter setting, ‘pasport terbang’ dan ‘pengembara hantu’ akhirnya dapat dihapuskan.

Agensi itu juga mengalu-alukan orang awam untuk melaporkan sebarang salah laku integriti pegawai AKPS melalui e-mel [email protected] atau hadir sendiri ke pejabat mereka di Aras 5, Setia Perkasa 7, Kompleks Setia Perkasa, Putrajaya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS