Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lepas dilabel bodoh, siswa dan Akmal setuju berdebat 1 Julai

Umpama gayung disambut, pantun dijual sudah dibeli.

Selepas dianggap bacul dan bodoh oleh Pemuda Umno Malaysia, kumpulan Federasi Pemuda Kebangsaan menghubungi pemimpin sayap parti Umno itu dan persetujuan dicapai - mereka akan berdebat.

Penyelaras kumpulan terbabit, Muhammad Fakrurrazzi Khairur Rijal, berkata Ketua Pemuda Umno Malaysia, Dr Akmal Saleh, sudah bersepakat untuk mengadakan sesi debat itu pada 1 Julai ini.

Berkenaan lokasi, Muhammad Fakrurrazzi berkata ia akan diadakan di Rumah Mandiri, Petaling Jaya Selangor.

Muhammad Fakrurrazzi Khairur Rijal

“Saya ada ternampak satu posting (hantaran) di instagram Malaysiakini mengenai berita Akmal nak jumpa mahasiswa 'bodoh, kurang ajar' yang membakar karikatur Anwar.

“Saya nak memaklumkan yang saya sahut seruan Akmal. Saya telah menghubungi Akmal sendiri dan kami bersetuju untuk berdebat pada 1 Julai,” katanya kepada Malaysiakini.

Pagi tadi Akmal dilaporkan mengecam tindakan peserta penunjuk perasaan di Sabah yang membakar karikatur Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Bersuara berani tapi bersua lari

Dia yang juga exco Melaka menyifatkan peserta yang berbuat demikian sebagai bodoh dan kurang ajar.

Akmal turut mengundang individu yang berbuat demikian untuk mengadakan pertemuan dengannya.

“Kepada adik mahasiswa yang rasa berani kerana berjaya bakar gambar Anwar, anda sebenarnya seorang yang bacul dan bodoh.

“Jika tidak berpuas hati dengan kenyataan saya, boleh aturkan perjumpaan dengan saya. Tolong maklumkan saya tempat dan masa, insya-Allah abang akan sampai untuk jumpa adik-adik depan-depan,” katanya.

Dalam kenyataan hari ini, Muhammad Fakrurrazzi turut mengucapkan terima kasih kepada Akmal kerana berani untuk bertemu dengan mahasiswa.

Namun, dalam nada yang lebih tegas, dia mencabar Ketua Pemuda PKR, Kamil Munim, agar tidak mengelak daripada bersemuka dengan kumpulan pelajar yang tidak berpuas hati kepada kerajaan.

Kamil Munim

“Sekarang ini saudara Kamil bila nak jumpa? Jangan buat-buat senyap, acah-acah busy (sibuk). Kau itu Ketua Pemuda PKR je, bukan ketua parti.

“Jangan jadi bacul, bersuara berani, bersua lari,” katanya lagi.

Aksi membakar karikatur Anwar itu berlaku di akhir bantahan pelajar terhadap isu rasuah yang diadakan di Kota Kinabalu, Sabah pada Ahad lalu.

Karikatur yang dibakar itu turut disertakan kenyataan “Madani Pelindung Rasuah Sabah”.

Jurucakap Sekretariat Rakyat Benci Rasuah, Fadhil Kasim berkata kain rentang tersebut melambangkan kritikan pedas terhadap pentadbiran Anwar, yang didakwa mereka sebagai gagal menunaikan janji berkaitan reformasi institusi.

Antara kritikan lain terhadap Anwar adalah berhubung pelantikan Musa Aman sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah. Ahli politik berusia 74 tahun yang juga bekas Ketua Menteri Sabah itu pernah berdepan 46 pertuduhan rasuah di mahkamah pada 2018.

Bagaimanapun, dia dibebaskan dan dilepaskan daripada semua pertuduhan apabila pendakwa raya menarik balik kes terhadapnya pada Jun 2020.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS