Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muda sifatkan pembebasan Syed Saddiq fasa baru dalam politik Malaysia
Diterbitkan:  Jun 25, 2025 11:41 AM
Dikemaskini: 4:53 AM

Muda menyambut baik peembebasan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan menyifatkan keputusan Mahkamah Rayuan itu menyifatkannya sebagai titik tolak kepada sebuah fasa baru dalam politik negara.

Dalam satu kenyataan hari ini, parti itu berkata bahawa keputusan berkenaan adalah seruan lantang untuk politik yang lebih bersih, progresif dan berprinsip, yang "benar-benar mewakili suara rakyat."

"Episod ini telah membuka mata kita semua tentang realiti sistem yang kita hadapi. Ia juga telah menyatukan suara anak muda, aktivis, profesional dan rakyat biasa - semua bersatu dalam satu impian untuk Malaysia yang lebih baik yang ditadbir dengan integriti dan keberanian moral," kata Muda.

Dalam keputusan sebulat suara hari ini, Mahkamah Rayuan membebaskan ahli Parlimen Muar itu daripada sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun serta dua sebatan atas kesalahan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Pemuda Bersatu (Armada) berjumlah RM1.2 juta.

Mahkamah rayuan mendapati pihak pendakwaan sebenarnya gagal membuktikan pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah mengikut Seksyen 406 terhadap Syed Saddiq selaku perayu.

"Lebih lima tahun, Syed Saddiq berdepan serangan peribadi berterusan, tuduhan bermotif politik dan pendakwaan yang dipersoalkan banyak pihak.

"Namun, beliau memilih laluan sukar, menolak sebarang rundingan belakang tabir dan tetap berpegang pada prinsip," kata Muda.

Menurut parti itu, Syed Saddiq meletakkan sepenuh kepercayaan terhadap sistem kehakiman negara dengan memilih untuk membela diri secara telus di mahkamah.

"Keputusan hari ini membuktikan keberanian, prinsip teguh serta integriti beliau," katanya lagi.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS