Bekas ahli Parlimen DAP Charles Santiago berkata kerajaan sepatutnya mengenakan cukai kepada maha kaya, bukannya membebankan rakyat miskin dengan tambahan cukai.
Kenyataan itu susulan pengakuan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Johan Mahmood Merican “sengaja” mengutip cukai lebih rendah berbanding negara serantau untuk kekal berdaya saing.
Charles menegaskan walaupun golongan maha kaya turut menikmati kemudahan awam seperti jalan raya dan sekolah, mereka mengelak daripada membayar cukai dan pada masa sama terus menuntut insentif.
“Kita perlu kenakan cukai terhadap kekayaan melampau, perkenalkan cukai pusaka dan melaksanakan perintah kekayaan tidak dapat dijelaskan bagi mengurangkan rasuah dan aliran wang haram seperti yang dilakukan di negara lain.
“Sudah tiba masanya mereka memberi semula dan membayar bahagian yang sepatutnya,” kata Charles dalam kenyataan hari ini.
Dalam wawancara bersama Malaysiakini, Johan berkata nisbah cukai kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia kekal jauh di bawah paras purata serantau, iaitu hanya 12.5 peratus — dengan hanya Indonesia memiliki peratusan lebih rendah.
“Saya rasa isu yang lebih besar, yang mungkin patut saya sentuh, ialah nisbah cukai kepada KDNK Malaysia masih agak rendah.
“Jadi jika dilihat kepada nisbah cukai kepada KDNK, sama ada pada 2023 atau 2024, kita hanya mencapai sekitar 12.5 peratus daripada KDNK,” kata Johan.
Reformasi cukai
Sehubungan itu, Charles berkata sistem percukaian negara perlu direformasi agar lebih progresif, bukannya menambah beban kepada golongan berpendapatan rendah.
Katanya, sikap kerajaan yang memberi terlalu banyak kelonggaran kepada golongan maha kaya akhirnya memaksa kerajaan untuk terus meminjam wang bagi mengurus kewangan negara.
“Mengapa kita terus memberi pengecualian cukai korporat, mengabaikan penyalahgunaan harga pindahan dan menutup mata terhadap kebocoran serta aliran kewangan haram?
“Akibatnya, kerajaan terus-menerus meminjam. Kita meminjam untuk menampung kekurangan yang enggan diisi oleh golongan maha kaya dan syarikat besar,” katanya lagi.
Pada 9 Jun lalu, Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan mengumumkan kerajaan akan meluaskan skop cukai jualan dan perkhidmatan (SST) bermula 1 Julai ini bagi mengukuhkan kedudukan fiskal negara menerusi peningkatan hasil dan perluasan asas cukai.
Dia berkata kadar cukai sifar bagi barangan keperluan asas akan dikekalkan, manakala barangan bukan keperluan akan dikenakan cukai antara lima hingga 10 peratus.
