Polis menerima tiga laporan susulan insiden peserta membakar suar dalam Himpunan Rakyat Benci Rasuah 2.0 yang berlangsung di ibu negara petang semalam.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, himpunan yang dianjurkan oleh Sekretariat Rakyat Benci Rasuah itu berlangsung dari jam 3.02 petang hingga 6.40 petang, melibatkan kira-kira 100 peserta termasuk daripada gabungan mahasiswa.
"Pada jam lebih kurang 4.30 petang, seorang peserta telah membakar suar hingga menyebabkan kepulan asap tebal yang boleh mengancam keselamatan dan kesihatan peserta, petugas keselamatan dan juga orang awam berdekatan.
"Ekoran dari tindakan tersebut, pihak polis telah mengambil tindakan pencegahan untuk memastikan asap dari suar itu tidak merebak,” katanya dalam satu kenyataan media.
Menurutnya, semasa tindakan pencegahan diambil, berlaku pergelutan antara peserta perhimpunan dan anggota polis sehingga menyebabkan kecederaan ringan kepada salah seorang anggota.
"Pergelutan tersebut berjaya dileraikan oleh pihak polis. Susulan itu, terdapat tiga laporan polis telah dibuat," jelasnya.
Katanya, polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan, Seksyen 3(5) dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.
Orang ramai turut dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan. Sebarang maklumat lanjut boleh disalurkan ke Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999, Pusat Kawalan IPD Dang Wangi di 03-2600 2222, atau di mana-mana balai polis berhampiran.
Semalam, Himpunan Rakyat Benci Rasuah 2.0 yang berlangsung di ibu negara bertukar kecoh apabila seorang peserta menyalakan suar.
Insiden berlaku kira-kira jam 4.30 petang, apabila seorang peserta menyalakan suar sebaik sahaja seorang aktivis mahasiswa, Ahsanul Akmal Muhamad Sulam selesai berucap.
Aksi itu menyebabkan seorang anggota polis cuba campur tangan untuk merampas suar berkenaan, sehingga menyebabkan berlaku kekecohan.
