Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kitingan nafi terlibat skandal pelombongan, dakwa tuduhan ‘tak berasas’
Diterbitkan:  Jun 29, 2025 8:33 PM
Dikemaskini: 12:33 PM

Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star) Jeffrey Kitingan, menafikan dakwaan dia menerima RM1.78 juta berkaitan skandal rasuah lesen perlombongan di Sabah.

Ketua Penerangan Star Anuar Ghani Gilong berkata, Kitingan menyifatkan tuduhan tersebut sebagai tidak berasas sama sekali dan serangan bermotif politik yang bertujuan menggugat kestabilan, memburukkan imej serta menghancurkan kerajaan Sabah.

“Kitingan menegaskan dia tidak pernah sama sekali menerima sebarang dana berkaitan permohonan lesen perlombongan atau mana-mana skandal yang didakwa.

“Tuduhan ini merupakan rekaan yang disengajakan, dirancang oleh pihak politik terdesak yang cuba mempengaruhi politik Sabah secara tidak wajar – satu taktik yang telah digunakan sejak era 1960-an,” kata Anuar dalam kenyataan, hari ini.

Anwar berkata Star tidak pernah memohon sebarang lesen perlombongan dan menafikan sebarang penglibatan dalam aktiviti perlombongan.

“Sebagai penyokong Perjanjian Pemuliharaan Alam Semula Jadi (NCA), kami berpendirian perlombongan secara asasnya bertentangan dengan prinsip pemuliharaan yang kami perjuangkan,” katanya.

Semalam, Malaysiakini melaporkan enam lagi ahli politik Gabungan Rakyat Sabah (GRS), iaitu daripada Star dan Parti Bersatu Sabah (PBS), turut dikatakan terlibat dengan skandal rasuah yang membabitkan pentadbiran Ketua Menteri Hajiji Noor.

Satu sumber telah memberikan Malaysiakini tangkap layar yang dikatakan diambil daripada rakaman video membabitkan enam individu terbabit, serta jumlah wang yang didakwa mencecah RM3.96 juta.

Kata Anwar lagi, Kitingan yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah I telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM dalam siasatan berkaitan skandal lesen perlombongan, bersama-sama ahli Star yang lain.

“Dia (Kitingan) mengecam cubaan media untuk mengadili kes ini menerusi pendapat awam, bukannya melalui saluran undang-undang yang sewajarnya.

“Inilah harga yang perlu dibayar apabila berjuang untuk hak-hak Sabah,” katanya lagi.

Katanya lagi, kenyataan terdahulu oleh pemberi maklumat turut membebaskan Star dan PBS daripada sebarang salah laku atau penerimaan rasuah.

Dia merujuk kepada ahli perniagaan bernama “Albert” yang mencetuskan siasatan SPRM susulan siri pendedahan videonya sebelum ini.

Merujuk laporan terbaru Malaysiakini, Anuar berkata Kitingan telah memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang terhadap laporan yang disifatkan sebagai “tidak bertanggungjawab dan merosakkan reputasi”.

“Kami menjangkakan lebih banyak tuduhan palsu dan fitnah akan dilemparkan oleh Malaysiakini dan para pemanipulasi politik yang lain,” kata Anuar.

Dia turut mengingatkan bahawa tuduhan “berunsur fitnah dan tidak benar” seumpamanya dijangka kian meningkat menjelang pilihan raya negeri Sabah yang akan datang, dan mendakwa ada pihak tertentu cuba mengeksploitasi dakwaan tersebut untuk mempengaruhi landskap politik.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS