Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Calon timbalan presiden: Kena tengok 'anak bulan' juga - Mohd Amar

Bergantung kepada ‘anak bulan’ – demikian demikian seloroh Naib Presiden PAS Mohd Amar Abdullah ketika ditanya mengenai cadangan yang mencalonkan namanya untuk ‘dinaikkan pangkat’ sebagai Timbalan Presiden PAS.

Menjelang pemilihan PAS Pusat yang akan berlangsung pada Sept nanti, bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan itu berkata, perkara berkenaan kedudukannya di peringkat nasional masih awal untuk dibincangkan.

Menurutnya, setakat ini ia baru di tahap pencalonan dan ia akan dibawa kepada jawatankuasa pemilihan untuk perhalusi.

"Sekiranya cukup pencalonan, maka jawatankuasa pemilih akan menghubungi calon yang dicadangkan itu.

"Jawatankuasa (pemilihan) akan maklumkan jika kita cukup syarat. Kalau tak cukup syarat mereka (jawatankuasa) tak beritahu,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Ditanya sama ada dia akan menerima pencalonan itu sekiranya mencukupi syarat, Mohd Amar enggan mengulas lanjut sebaliknya sekadar berseloroh.

“Kena tengok anak bulan juga,” katanya ringkas.

Semalam Mohd Amar dilaporkan menerima pencalonan untuk bertanding jawatan timbalan presiden pada muktamar ke-71 parti itu yang dijangka diadakan di Alor Setar, Kedah, kira-kira dua bulan akan datang.

Isu ‘langgar presiden’

Pencalonan tersebut dikemukakan Dewan Pemuda PAS Kawasan Pengkalan Chepa sempena mesyuarat agung tahunan kali ke-53 mereka yang berlangsung semalam.

Cadangan itu dibawa oleh Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pengkalan Chepa, Mohamad Sazwan Mohd Sakri, dan disokong sebulat suara oleh seluruh perwakilan pemuda kawasan berkenaan.

Mohd Amar merupakan Yang Dipertua PAS Kawasan Pengkalan Chepa.

Sebelum ini dalam wawancara bersama Malaysiakini Mohd Amar menegaskan, jika Presiden PAS Abdul Hadi Awang memilih untuk berundur sekali pun, posisi itu mesti diganti oleh timbalannya.

Pun begitu kata Speaker DUN Kelantan itu lagi, pada pandangannya pilihan terbaik ialah mengekalkan Abdul Hadi bersama Tuan Ibrahim Tuan Man selaku timbalan presiden.

Apa yang perlu dilakukan, jelasnya lagi, PAS perlu ‘menyusun’ keanggotaan di peringkat ahli Jawatankuasa PAS Pusat supaya semua kebolehan yang ada – iaitu tokoh agamawan, profesional dan teknokrat – dapat digabungkan.

Baru-baru ini kumpulan yang menggelarkan diri mereka Geng Ustaz pula baru-baru ini membangkitkan isu adanya cubaan “melanggar presiden” dan menganggapnya sebagai “kudis lama” dalam parti tersebut.

Malah Presiden Geng Ustaz, Ahmad Dusuki Abd Rani, turut menggelar pihak yang mengganggu kepimpinan ulama sebagai “syaitan-syaitan dalam kalangan manusia dan jin”.

Perkara itu menimbulkan sedikit bahang menjelang pemilihan PAS yang kini sedang berlangsung di peringkat kawasan-kawasan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS