Kenyataan dibuat Pengerusi PKR Sabah, Mustapha Sakmud berhubung isu rasuah melibatkan beberapa Adun di Sabah tidak mewakili pendirian rasmi parti itu.
Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh menegaskan bahawa setakat ini tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh ibu pejabat PKR berhubung isu berkenaan.
"Itu adalah pendirian peribadi (pengerusi) PKR Sabah, bagi pihak Setiausaha Agung, tidak ada kenyataan rasmi dalam hal berkaitan," katanya ringkas kepada media selepas merasmikan sebuah premis kecantikan di Kuantan, Pahang hari ini.
Fuziah yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berkata demikian ketika diminta mengulas reaksi pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang membidas kenyataan Mustapha semalam.
Sebelum ini, Mustapha dilaporkan melahirkan rasa terkejut susulan laporan Malaysiakini yang mendedahkan video dan bukti lain membabitkan enam lagi ahli politik dalam skandal tersebut.
Ini selepas satu sumber menyerahkan kepada Malaysiakini tangkapan skrin yang didakwa diambil daripada rakaman video yang melibatkan pemimpin terbabit.

Mustapha dilaporkan berkata bahawa PKR Sabah "terkejut" dengan dakwaan itu, sambil menambah bahawa parti itu sedang menilai kesan politik skandal berkenaan.
Jelasnya, perkembangan itu berpotensi mengubah landskap gerakan politik di Sabah dan PKR bersedia untuk sebarang kemungkinan.
Semalam Timbalan Setiausaha Agung GRS, Armizan Ali menempelak kenyataan dibuat Mustapha.
Armizan dilaporkan berkata, gabungan parti itu menyifatkan PKR Sabah selaku sekutu mereka 'tergesa-gesa membuat kenyataan' dan tidak menghormati proses sewajarnya.

Menteri KPDN dan Ahli Parlimen Papar itu menegaskan bahawa GRS secara konsisten mengambil pendirian untuk tidak membuat kenyataan spekulatif.
"Walaupun apabila kami didesak, kami (GRS) mengelak daripada membuat perbandingan, sebaliknya memilih untuk membiarkan proses undang-undang diteruskan," katanya yang dipetik Daily Express.
Ahli politik yang terlibat berhubung skandal itu termasuk pemimpin tertinggi Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Parti Bersatu Sabah (PBS), yang mana kedua-duanya merupakan komponen utama kerajaan negeri GRS yang memerintah negeri.
Antaranya ialah Presiden Star Jeffrey Kitingan dan dua timbalannya, Ellron Alfred Angin dan Robert Tawik; Pemangku presiden PBS Joachim Gunsalam, pendahulunya Maximus Ongkili, dan timbalan presiden Jahid Jahim.
Pada 30 Jun lalu, Jahid menafikan dakwaan itu dan menegaskan dia tidak menerima dana berkaitan lesen perlombongan.
Kitingan baru-baru ini menyalahkan "tangan tersembunyi" yang menurutnya mahu menggugat kestabilan kerajaan negeri sebagai punca dakwaan mengaitkannya dengan skandal rasuah itu.
