Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
GRS sifatkan PKR Sabah gopoh buat kenyataan isu skandal rasuah
Diterbitkan:  Jul 2, 2025 1:14 PM
Dikemaskini: 5:14 AM

Gabungan Rakyat Sabah (GRS) membidas PKR Sabah berhubung reaksi terhadap dakwaan baru berkaitan skandal rasuah negeri itu, menyifatkan sekutu mereka itu tergesa-gesa membuat kenyataan dan tidak menghormati proses sewajarnya.

Timbalan Setiausaha Agung GRS Armizan Ali menekankan bahawa gabungan itu secara konsisten memilih untuk tidak membuat perbandingan atau membuat kenyataan spekulatif kerana ia percaya dalam membenarkan proses undang-undang berjalan dengan lancar.

"Walaupun apabila kami didesak, kami (GRS) mengelak daripada membuat perbandingan, sebaliknya memilih untuk membiarkan proses undang-undang diteruskan," katanya dipetik Daily Express hari ini.

Ahli Parlimen Papar itu menekankan penghormatan GRS terhadap doktrin tidak bersalah sehingga terbukti sebaliknya.

Armizan berkata demikian susulan kenyataan seorang pemimpin PKR Sabah baru-baru ini berhubung "dakwaan yang tidak disahkan" dalam skandal perlombongan negeri itu, yang didakwa melibatkan beberapa Adun.

“(Komen dibuat) sehingga mereka (PKR Sabah) bersedia untuk sebarang kemungkinan,” keluh Armizan, yang juga menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup.

Dia menjawab soalan Pengerusi PKR Sabah Mustapha Sakmud yang melahirkan rasa terkejut dengan laporan Malaysiakini mengenai video dan bukti lain yang membabitkan enam lagi ahli politik dalam skandal lesen cari gali mineral negeri itu.

Satu sumber memberi Malaysiakini tangkapan skrin yang didakwa diambil daripada rakaman video yang melibatkan pemimpin terbabit.

Malaysiakini juga ditunjukkan petikan ringkas rakaman itu tetapi tidak dibenarkan untuk menyiarkannya semula.

Pengerusi PKR Sabah Mustapha Sakmud

Mustapha dilaporkan berkata bahawa PKR Sabah "terkejut" dengan dakwaan itu, sambil menambah bahawa parti itu sedang menilai kesan politik skandal berkenaan.

Jelasnya, perkembangan itu berpotensi mengubah landskap gerakan politik di Sabah dan PKR bersedia untuk sebarang kemungkinan.

Ahli politik yang terlibat berhubung skandal itu termasuk pemimpin tertinggi Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Parti Bersatu Sabah (PBS), yang mana kedua-duanya merupakan komponen utama kerajaan negeri GRS yang memerintah negeri.

Antaranya ialah Presiden Star Jeffrey Kitingan dan dua timbalannya, Ellron Alfred Angin dan Robert Tawik; Pemangku presiden PBS Joachim Gunsalam, pendahulunya Maximus Ongkili, dan timbalan presiden Jahid Jahim.

Pada 30 Jun lalu, Jahid menafikan dakwaan itu dan menegaskan dia tidak menerima dana berkaitan lesen perlombongan.

Semalam, Kitingan menyalahkan "tangan tersembunyi" yang menurutnya mahu menggugat kestabilan kerajaan negeri sebagai punca dakwaan mengaitkannya dengan skandal rasuah itu.

Awal hari ini, Gunsalam menafikan dakwaa rasuah terhadapnya, menyifatkan ia sangat tidak bertanggungjawab.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS