Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Adun DAP persoal hasrat kerajaan Sarawak tambah 17 kerusi DUN baru
Diterbitkan:  Jul 7, 2025 5:05 PM
Dikemaskini: 9:05 AM

Seorang Adun Sarawak mendakwa kerajaan negeri itu melaksanakan persempadanan semula yang tidak adil (gerrymandering), susulan pembentangan Rang Undang-undang (RUU) untuk menambah kerusi DUN daripada 82 kepada 99 - iaitu sebanyak 17 kerusi baru.

Adun Pending daripada DAP, Violet Yong menyifatkan langkah itu “bukan saja tidak kena masa, tetapi tak adil, tak perlu dan bermotif politik”.

“Terus terang saja: GPS (Gabungan Parti Sarawak) menambah kerusi baru hanya di kawasan yang ia boleh menang, bukan di kawasan yang diperlukan berdasarkan bilangan pengundi. Ini gerrymandering yang diselindung dengan reformasi,” katanya seperti dipetik the Borneo Post.

Terdahulu, Bernama melaporkan kerajaan Sarawak telah membentangkan RUU DUN (Komposisi Keahlian) 2025 bagi menambah bilangan Adun daripada 82 orang kepada 99 orang.

Dibentang oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Abdul Karim Rahman Hamzah, RUU itu bertujuan mencerminkan perubahan demografi, peluasan kawasan bandar, dan keperluan untuk perwakilan yang saksama di Sarawak.

Abdul Karim juga berkata sebaik saja RUU itu diluluskan dan diwartakan, ia akan dilaksanakan pada PRN akan datang.

Katanya, cadangan pindaan juga akan memansuhkan Ordinan Komposisi Keanggotaan DUN Sarawak 2014 (Cap.70), yang menetapkan bilangan kerusi DUN sebanyak 82.

Bagaimanapun, Yong berkata langkah itu mengalihkan tumpuan daripada isu rakyat yang mendesak, seperti kemiskinan, kos sara hidup yang tinggi, kelemahan infrastruktur dan kekurangan kemudahan asas.

“Di saat ramai orang Sarawak bergelut dengan kos sara hidup yang meningkat, jalan raya yang tidak mencukupi, ketiadaan bekalan elektrik, tiada bekalan air bersih, serta akses yang lemah kepada perkhidmatan asas, kerajaan GPS memilih untuk mengutamakan penambahan lebih ramai ahli politik daripada menangani keperluan sebenar rakyat,” katanya.

Yong berkata demikian semasa perbahasan rang undang-undang berkenaan dalam sidang khas sehari DUN Sarawak hari ini.

Dia turut mempersoalkan rasional di sebalik penambahan kerusi, dan berkata walaupun jumlah pengundi meningkat ketara susulan dasar pendaftaran automatik dan pelaksanaan Undi18, peningkatan itu sebenarnya tertumpu di kawasan bandar dan separa bandar.

Mengingatkan tentang beban kewangan ke atas kerajaan negeri susulan penambahan kerusi itu, Yong turut mempersoalkan sikap membisu menteri-menteri Persekutuan daripada GPS.

“Apa yang telah dilakukan oleh lima menteri Persekutuan daripada GPS di Parlimen untuk memperjuangkan penambahan kerusi Parlimen bagi negeri ini? Mengapa tiada desakan yang jelas daripada mereka untuk menuntut hak kita?” soalnya.

Sementara itu, Adun Opar daripada GPS, Billy Sujang berkata Sarawak yang memiliki keluasan geografi yang besar serta komposisi masyarakat berbilang etnik menjadikan perlunya wakil rakyat yang cekap. 

Katanya, wakil rakyat di kawasan yang meliputi keluasan ratusan kilometer sukar memberi khidmat menyeluruh kepada semua penduduk.

Katanya lagi, penambahan 17 kerusi itu akan membolehkan sempadan pilihan raya ditentukan semua bagi mencerminkan keadaan sebenar taburan populasi, dan membolehkan wakil rakyat menangani isu-isu tempatan secara menyeluruh dengan lebih mudah.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS