Rafizi Ramli berkata respon yang diberikan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) terhadap saranan sembilan ahli parlimen PKR semalam memang mengesahkan kebimbangan mereka secara tidak langsung.
Lebih daripada itu, Rafizi menegaskan, kelewatan pelantikan jawatan penting hakim ketika ini juga membayangkan bahawa ada isu terkait dengan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Katanya, walaupun mengalu-alukan pandangan AGC, kenyataan pagi tadi mengesahkan tiga perkara secara tidak langsung termasuk wujud kelewatan dalam proses lantikan dan pencalonan daripada Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC).
Cadangan itu, kata Rafizi, tidak dipertimbangkan atau tidak diambil tindakan.
“Sementara saya sedia maklum peruntukan Perlembagaan Persekutuan bahawa tanggungjawab menasihati Yang di-Pertuan Agong adalah kuasa perdana menteri; dan kuasa JAC ialah mengemukakan senarai calon yang telah dipertimbangkan dan ditapis kepada perdana menteri; keadaan bila mana ada kekosongan mendesak dari mahkamah tinggi ke Mahkamah Persekutuan akibat kelewatan pelantikan membayangkan perdana menteri tidak bersetuju dengan calon-calon yang telah dikemukakan JAC,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Secara pentadbiran dan undang-undang, tambah Ahli Parlimen Pandan itu lagi, perkara tersebut boleh dijelaskan seperti kenyataan dibuat AGC.
Namun dari sudut pandangan umum, katanya, ia menguatkan spekulasi bahawa cabang eksekutif mahu mempengaruhi pelantikan hakim-hakim yang difikirkan lebih serasi dengan pandangan kerajaan.
“Jika tanggungjawab perdana menteri di bawah perlembagaan ialah melindungi kebebasan, kredibiliti dan integriti badan kehakiman seperti kenyataan AGC, maka perkara-perkara yang boleh mengundang spekulasi seperti itu (cubaan mempengaruhi pelantikan hakim) perlulah dielakkan, kalau pun ia tidak melanggar tatacara prosedur,” katanya.
Tak patut nilai pramatang
Semalam Rafizi bersama lapan ahli parlimen PKR mendesak kerajaan menubuhkan RCI bagi meneliti isu pelantikan beberapa hakim yang didakwa mungkin melibatkan campur tangan pihak tertentu.
Selain Rafizi, lapan lagi ahli parlimen kerajaan yang menyokong gesaan itu ialah Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa), Rodziah Ismail (Ampang), Wong Chen (Subang), Zahir Hassan (Wangsa Maju), Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau), Syed Ibrahim Syed Noh (Ledang), S Kesavan (Sungai Siput) dan Onn Abu Bakar (Batu Pahat).

Mereka turut mengingatkan, kegagalan menyelesaikan isu tersebut mungkin mengulangi skandal campur tangan menyusun pelantikan hakim seperti yang berlaku pada 2002 dan dibongkar kira-kira lima tahun kemudian.
Pagi tadi pula AGC mengetepikan kebimbangan yang dibangkitkan ahli parlimen terbabit dan menganggap tidak wajar mereka membandingkan isu sekarang dengan skandal lebih 20 tahun lalu.
AGC pada masa sama mengakui bahawa dakwaan terhadap seorang hakim Mahkamah Persekutuan yang dikatakan campur tangan dalam keputusan dan pelantikan kehakiman adalah perkara serius.
Menurut Rafizi kenyataan AGC tadi turut mengesahkan JAC bermesyuarat tanpa mematuhi notis 10 hari yang dikehendaki dari aspek pentadbiran.
Perkara ketiga yang disahkan secara tidak langsung, kata bekas Timbalan Presiden PKR itu lagi, ialah tuduhan bahawa seorang hakim Mahkamah Persekutuan terlibat dalam mempengaruhi keputusan mahkamah dan penugasan semula hakim ada dibincangkan di dalam mesyuarat JAC.
Kata Rafizi , AGC tidak berhak menilai atau menentukan dakwaan yang dibangkitkan itu bersifat pramatang atau spekulatif semata-mata.

Pada masa sama, Rafizi berkata, AGC mengakui bahawa pertimbangan dalam mesyuarat JAC adalah bersifat rahsia.
“Justeru bagaimana AGC boleh membuat kesimpulan dakwaan-dakwaan itu tidak ada merit?
“Sebab itulah saya mengesyorkan satu RCI ditubuhkan untuk menyiasat dan memutuskan mengenai dakwaan-dakwaan ini, kerana selagi ia tidak diselesaikan, ia akan mengundang kemarahan kepada pentadbiran perdana menteri,” katanya.
Kata Rafizi lagi integriti badan kehakiman bukan terletak semata-mata kepada aspek susun atur dan perjalanan proses mengikut prosedur.
Apa yang lebih penting, katanya, integriti badan kehakiman perlu diyakini oleh rakyat dan pemegang taruh, yang menilai secara keseluruhan dalam konteks rentetan peristiwa yang berlaku.
Kenyataan yang dikeluarkan AGC hari ini, tambah Rafizi, mengesahkan bahawa kerajaan sendiri mengakui persoalan mengenai integriti badan kehakiman telah menjadi isu nasional.
“Demi mempertahankan imej, adalah lebih baik kerajaan mempertimbangkan saranan kami (ahli-ahli parlimen kerajaan) daripada terus menjadi sasaran kritikan pembangkang,” katanya.
