Ahli perniagaan yang didakwa berhubung skandal rasuah Sabah, Albert Tei, menggesa Ketua Polis Negara Mohd Khalid Ismail untuk menjelaskan mengapa pihak berkuasa tidak bertindak ke atas aduannya terhadap seorang menteri Sabah kerana didakwa membuat laporan palsu.
Peguam Tei, Mahajoth Singh, berkata dia menemani ahli perniagaan terbabit memfailkan aduan kepada Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) di Putrajaya pagi tadi berhubung isu membabitkan menantu Yang di-Pertua Negeri Sabah, Musa Aman.
“Saya mesti menegaskan bahawa lebih enam bulan telah berlalu sejak anak guam saya membuat laporan.
"Sepanjang masa itu, kami meminta maklumat terkini daripada pegawai penyiasat, ketua polis daerah dan akhirnya Jabatan Peguam Negara, tetapi tiada jawapan," kata Mahajoth kepada Malaysiakini.
Justeru, katanya, mereka menggesa Mohd Khalid memberikan penjelasan mengapa berlaku kelewatan serta tiada tindakan susulan diambil ke atas ahli politik terbabit.
Tei pada 6 Feb lalu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang sebagai respons kepada laporan terdahulu yang dibuat Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Mohd Arifin Mohd Arif, mengenai berita disiarkan Malaysiakini.

Ia melibatkan dakwaan menteri terbabit membuat tawaran kepada pembocor maklumat itu agar isu mereka diselesaikan.
Tei dalam laporan balasnya mendakwa Mohd Arifin - yang juga Adun Membakut dan menjadi salah seorang individu yang dituduh mengambil rasuah sebagai pertukaran untuk mendapatkan lesen cari gali mineral - memfailkan "laporan palsu" dengan mendakwa berita disiarkan Malaysiakini pada 3 Feb lalu adalah tidak tepat, mengelirukan, dan dipenuhi dengan dakwaan palsu dan fitnah.
Mahajoth berkata, mereka mahu memfailkan aduan rasmi kepada IPCC apabila Ketua Polis Daerah Serdang, ACP Muhamad Farid Ahmad, hanya memberikan maklum balas ringkas terhadap laporan dibuat Tei sebelum ini,
“Saya menerima surat daripada IPD Serdang petang semalam, tetapi ia hanya meminta kami ‘membuat semakan di (IPD) Dang Wangi'.
“Jadi masih tiada maklum balas atas permintaan kami untuk mendapatkan perkembangan terkini bagi laporan (6 Feb) lalu,” tegasnya.
Mahajoth menegaskan setiap balai polis ada mempamerkan amaran terhadap kesan membuat "laporan palsu".
Justeru, katanya, adalah "tidak masuk akal" dia dan Tei tidak menerima sebarang maklumat terkini berhubung siasatan terhadap Arifin selepas enam bulan aduan dikemukakan.
Mahajoth menambah, anak guamnya akan diberikan nombor aduan rasmi dalam tempoh 24 jam selepas aduan dibuat, dan perkara itu akan dibangkitkan kepada jawatankuasa IPCC minggu depan.
