Perdana Menteri Anwar Ibrahim meluangkan hampir dua jam dalam perjumpaan bersama ahli Parlimen PH di kediaman rasminya di Putrajaya hari ini, dengan tumpuan diberikan kepada kontroversi berhubung institusi kehakiman.
Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan memberitahu Malaysiakini bahawa Anwar, yang kini berdepan tekanan daripada ahli Parlimen pembangkang dan beberapa pihak lain yang mendesak agar dia meletakkan jawatan, mengambil peluang itu untuk memberikan penjelasan berhubung pelbagai perkara dari sudut pandangnya sebagai ketua eksekutif negara.
“Perdana menteri memberikan penjelasan tentang apa yang sedang berlaku dan isu-isu kontroversi semasa daripada perspektifnya,” kata Syahredzan yang juga anggota jawatankuasa eksekutif pusat DAP.
Sementara enggan mendedahkan secara terperinci penjelasan yang diberikan Anwar, Syahredzan berkata mereka dimaklumkan tentang sebab di sebalik keputusan untuk tidak menyambung perkhidmatan Tengku Maimun Tuan Mat sebagai Ketua Hakim Negara selama enam bulan.
“Anwar menyentuh mengenai prosedur berkaitan pelantikan Ketua Hakim Negara baru dan jawatan kanan kehakiman lain yang kosong.
“Dia juga membincangkan berkenaan dakwaan kebocoran minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC),” kata Syahredzan, merujuk kepada dokumen yang didakwa mengandungi tuduhan serius berhubung campur tangan kehakiman melibatkan seorang hakim kanan.
Katanya, Anwar turut meluangkan masa menjawab soalan daripada ahli Parlimen yang hadir.
“Ia perbincangan yang terbuka dan jujur, tak ada tapis. Secara peribadi, saya berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan oleh perdana menteri,” katanya yang juga seorang peguam.
Calon jawatan kehakiman tertinggi
Seorang lagi ahli Parlimen PKR yang enggan dinamakan mendedahkan bahawa perbincangan petang tadi turut menyentuh nama-nama hakim kanan yang sedang dipertimbangkan untuk mengisi kekosongan jawatan kehakiman tertinggi.
“Ia merupakan perbincangan yang bagus dan semua ahli Parlimen yang hadir berpuas hati dengan penjelasan Anwar,” kata wakil rakyat kanan itu kepada Malaysiakini.
Terdahulu hari ini, Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli berkata dia tidak akan menghadiri pertemuan itu kerana sudah maklum tentang isi penjelasan yang akan diberikan Anwar.
Namun, Malaysiakini dimaklumkan bahawa ahli-ahli Parlimen PKR lain yang bersama-sama Rafizi menuntut penubuhan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) berhubung dakwaan terhadap institusi kehakiman turut hadir dalam pertemuan tersebut.
Pengumuman akan datang
Menerusi hantaran di Facebook, Ahli Parlimen Subang Wong Chen memaklumkan bahawa dia turut bersuara dalam mesyuarat itu.

“Saya baru pulang dari Putrajaya. Saya telah bersuara dalam pertemuan dengan perdana menteri dan ahli Parlimen PH.
“Tunggu berita, akan ada pengumuman dalam beberapa hari,” katanya.
Pada hari ini juga, Badan Peguam Malaysia mengadakan perarakan dari Istana Kehakiman ke Pejabat Perdana Menteri untuk mempertahankan kebebasan badan kehakiman.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said menggesa semua pihak yang mendesak kekosongan dalam jawatan kehakiman tertinggi negara diisi segera supaya menunggu hasil Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-269 yang dijadual berlangsung esok hingga 17 Julai.
