Ahli perniagaan Albert Tei bersedia untuk menamakan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memberi amaran kepadanya agar tidak mendedahkan skandal perlombongan di Sabah, namun dia mahukan perlindungan sebagai pemberi maklumat terlebih dahulu, kata peguamnya Mahajoth Singh.
Dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini petang ini, Mahajoth mendedahkan amaran itu datang daripada individu yang memegang jawatan berautoriti tinggi.
Dia mengulas kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran semalam yang menggesa Tei membuat laporan rasmi serta memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk intimidasi terhadap pemberi maklumat.
Namun, Mahajoth (gambar bawah) berkata jaminan seperti itu perlu dilihat dengan berhati-hati berdasarkan pengalaman lalu anak guamnya.

“Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, anak guam saya telah cuba mendekati SPRM pada Oktober 2024 dengan niat untuk membuat pendedahan mengenai skandal rasuah di Sabah.
“Namun, dia telah diberi amaran secara jelas agar tidak meneruskan hasrat membuat laporan.
“Arahan anak guam saya adalah bahawa amaran itu datang daripada individu yang memegang jawatan di peringkat yang amat tinggi,” katanya lagi.
Justeru, kata Mahajoth, sekiranya kerajaan benar-benar serius dengan jaminan bahawa ia tidak akan berkompromi terhadap intimidasi, maka ia mesti membuktikan kesungguhan itu dengan serta-merta memberikan perlindungan pemberi maklumat kepada Tei tanpa berlengah.

“Inilah yang sebenarnya diminta oleh anak guam saya sejak hari pertama.
“Sebaik sahaja ia diberikan, dia akan mendedahkan segalanya — termasuk identiti individu yang telah memberi amaran supaya dia berdiam diri,” tambahnya.
Menurut Mahajoth, isu pokok dalam perkara ini bukanlah keengganan anak guamnya untuk tampil, tetapi sejauh mana kerajaan bersedia untuk menunaikan jaminannya sendiri dan menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang secara saksama — tanpa mengira pangkat atau kedudukan.
Semalam, Mahajoth berkata Tei telah diberi amaran agar tidak tampil, sebagai maklum balas terhadap kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Azalina Othman Said, yang menyatakan pendedah maklumat yang terlebih dahulu menghubungi media — sebelum agensi penguat kuasa — tidak layak mendapat perlindungan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.
Peguam itu berkata anak guamnya hanya memutuskan untuk tampil ke hadapan — dengan mendedahkan rakaman video dan dokumen yang didakwa mengaitkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah kepada Malaysiakini — selepas didiamkan oleh SPRM dan menerima ugutan bunuh.
