Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Jika semalam Ahli Parlimen Arau, Shahidan Kassim, menjangkakan peserta himpunan Turun Anwar boleh mencapai 500,000 orang, hari ini seorang lagi pemimpin pembangkang menyatakan ramalannya - sejuta orang.

Menurut Hamzah Zainudin ketika ini ada terlalu banyak isu yang menyebabkan rakyat tidak berpuas hati kepada kerajaan dan akan mendorong mereka turun beramai-ramai pada Sabtu nanti.

Kata ketua pembangkang itu, dia bertanya kepada pegawainya tentang apa isu yang sedang dihadapi rakyat, dan dimaklumkan ada "seribu" masalah yang boleh dipilih.

"Kalau ada seribu isu, maknanya ada seribu kumpulan yang tidak berpuas hati. (Misalnya) Ada satu kumpulan sakit hati pada isu nombor satu, dan ada kumpulan yang sakit hati pada isu yang ke-1,000.

"Kalau dah ada seribu orang untuk tiap-tiap kumpulan darab dengan 1,000 (isu), dan ada sejuta orang," katanya pada sidang media di parlimen pagi ini.

Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut merangkap Timbalan Presiden Bersatu juga memberitahu ada pelbagai pihak yang datang bertemu dengan mereka untuk berkongsi rasa tidak puas hati terhadap kerajaan.

Antaranya, kata Hamzah, ialah pertubuhan sivil dan NGO seperti Bersih, Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), dan Transparency International Malaysia.

"Mereka ini tidak puas hati, dan apabila tidak puas hati timbullah perasaan nak turun pada Sabtu ini," katanya lagi.

Justeru, kata Hamzah, kerajaan tidak sewajarnya berasa marah kepada pembangkang kerana memang orang ramai bersemangat untuk "bangkit".

"Rakyat bangkit sebab dah ada banyak sangat masalah terkumpul," katanya lagi.

Isu dana Mitra

Pada masa sama, Hamzah menyarankan agar perdana menteri berundur sebelum himpunan tersebut berlangsung.

"Saya nak beritahu perdana menteri, biarkan rakyat sampaikan suara mereka. Jika mereka mahu meminta anda berundur dan anda rasa perlu, letaklah jawatan.

"Kalau letak jawatan sebelum perhimpunan, lagi bagus. Tak payah susahkan rakyat," katanya.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Ahli Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali, berkata beberapa NGO India telah mengadakan pertemuan dengan wakil pembangkang semalam berhubung kelewatan Unit Transformasi India Malaysia (Mitra) mengagihkan dana.

Dr Halimah Ali

Mendakwa Mitra gagal menyalurkan satu sen pun daripada peruntukannya kepada rakyat, Halimah berkata 45 NGO dimaklumkan bahawa mereka akan menerima maklumat terkini mengenai permohonan bantuan kewangan mereka menjelang 30 Jun.

“Mitra mengeluarkan kenyataan pada 31 Mei menyatakan bahawa permohonan geran daripada 45 pemohon telah diluluskan semasa mesyuarat jawatankuasa unit dan permohonan untuk kelulusan telah dikemukakan kepada Jabatan Perdana Menteri.

"Bagaimanapun, sehingga hari ini, tiada kemas kini - ille, zero," katanya.

Justeru pemimpin PAS itu menggesa Ahli Parlimen Batu (PKR) P Prabakaran selaku pengerusi jawatankuasa pasukan petugas khas Mitra segera menangani kebimbangan yang dibangkitkan oleh kumpulan terbabit.

“(Prabakaran) perlu bertanggungjawab terhadap perkara ini dan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai kelewatan berterusan…(isu sebegini) tidak boleh diterima, terutamanya apabila ia melibatkan anggota masyarakat yang sangat memerlukan bantuan,” tambahnya.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS