Usul-usul utama Badan Peguam Malaysia yang dijadualkan untuk dibahaskan dalam mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang dibatalkan semalam tidak akan dibawa secara automatik ke mesyuarat agung tahunan (AGM) pada Mac tahun depan.
Presiden Badan Peguam, Ezri Abdul Wahab berkata, mana-mana usul sebegitu perlu dikemukakan semula selaras dengan Akta Profesion Undang-Undang.
“Sebarang usaha untuk membentangkan semula usul-usul tersebut dalam AGM akan datang perlu dihantar semula,” katanya kepada Malaysiakini.
Dairpada lebih 24,000 ahli, hanya 309 peguam dari Semenanjung Malaysia hadir ke EGM tersebut, menyebabkan ia dibatalkan secara automatik kerana gagal mencapai korum minimum 500 orang.
Tiga usul dijadualkan untuk dibahaskan, termasuk berkaitan kebebasan kehakiman yang diketuai oleh Ezri. Satu lagi usul mempersoalkan perdana menteri atas dakwaan menjejaskan keyakinan awam terhadap badan kehakiman. Usul kedua itu dicadangkan bersama oleh peguam kanan Malik Imtiaz Sarwar dan Surendra Ananth.
Ketika dihubungi, Surendra meluahkan kekecewaannya terhadap kegagalan EGM itu untuk diteruskan dan menegaskan usul-usul berkenaan penting bukan hanya kepada para peguam tetapi juga seluruh rakyat Malaysia.
“Tetapi ia tidak menafikan hakikat bahawa kira-kira 1,400 peguam pernah berjalan di bawah terik mentari sejauh kira-kira 2km atas sebab yang sama,” katanya, merujuk kepada protes “Perarakan untuk Kebebasan Kehakiman” anjuran Badan Peguam pada tahun 2022.
“Mungkin usaha hebahan dan kesedaran untuk EGM kali ini tidak mencukupi atau tidak berkesan,” katanya.
Ketika ditanya mengenai butiran usul berkenaan, Surendra berkata ia kekal sulit kerana EGM tidak berlangsung.
“Ia hanya akan diumumkan secara terbuka jika diluluskan dan diumumkan oleh presiden,” katanya, sambil menambah keputusan akan dibuat sama ada untuk mengemukakan semula usul itu bagi AGM nanti.
Usul ketiga, yang menuntut kadar elaun minimum yang adil untuk pelatih dalam bidang guaman, dicadangkan oleh peguam Goh Cia Yee dan Vince Tan.
Mengulas tentang kehadiran yang rendah, Goh berkata adalah tidak adil untuk menyalahkan sepenuhnya ahli muda Badan Peguam.
“Apabila Badan Peguam tidak melibatkan diri dengan peguam muda dan isu-isu yang mereka hadapi, bagaimana boleh disalahkan mereka apabila korum tidak dicapai?”katanya.
Goh, jurucakap Gerakan Peguam Muda, turut mempersoalkan ketiadaan pilihan mesyuarat secara hibrid.
“Mengapa kita masih belum mempunyai pilihan sekurang-kurangnya secara hibrid pada tahun 2025? Kita ada ahli di negeri-negeri lain yang boleh turut serta.
“Sudah ada duluan untuk mesyuarat agung secara maya. Kualitinya tidak pun lebih rendah — malah, ia lebih cekap.”
Dia turut menambah bahawa usul berkenaan kadar elaun pelatih akan dibentangkan semula dalam AGM nanti.
