Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar cabar Hamzah bawa usul undi tak percaya di Parlimen
Diterbitkan:  Jul 27, 2025 4:56 PM
Dikemaskini: 8:56 AM


Perdana Menteri Anwar Ibrahim mencabar seterunya, Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin untuk membawa usul tidak percaya terhadapnya.

Menurut Anwar, sudah tiga tahun dia menunggu usul tersebut dibawa di Parlimen.

"Kita terbuka, ini proses yang betul. Nak bawa (usul tidak percaya), sila bawa. Dia (Hamzah) kata nak bawa (usul) dah tiga tahun dah,” katanya seperti dipetik Bernama, hari ini.

Anwar mengulas kenyataan Hamzah semasa himpunan Turun Anwar di Kuala Lumpur semalam, yang membayangkan pembangkang sedang menimbang untuk membawa usul itu dalam masa terdekat.

"Tak apa, tunggulah. Kita akan lakukan nanti. Takkan kita nak sebut (bila akan hantar usul berkenaan," katanya seperti dipetik Berita Harian.

Himpunan Turun Anwar semalam menyaksikan sekurang-kurangnya 25,000 berhimpun di Dataran Merdeka bagi mendesak peletakan jawatannya sebagai perdana menteri.

Anwar sebelum ini berkata jika pembangkang mahu dia letak jawatan, mereka sepatutnya melakukannya menerusi undi percaya di Parlimen.

Dia juga membayangkan kerajaan tidak akan menghalang usul itu daripada dibawa ke Parlimen, dan telah berbincang dengan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Johari Abdul bagi memastikan jika usul sedemikian dibentangkan, ia akan dibahaskan serta-merta.

Anwar memiliki majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat seperti yang dibuktikan ketika undian belah bahagi pada Mac lalu, ketika kerajaan meluluskan pindaan perlembagaan untuk memberikan lebih kebebasan pada Parlimen.

Maka, amat sukar untuk pembangkang menyingkirkannya Anwar di Parlimen.

Sebelum ini, pada Disember 2022, undi percaya untuk membuktikan keabsahannya sebagai Perdana Menteri telah diluluskan hanya melalui undian suara, apabila pembangkang enggan meminta undian belah bahagi yang merekodkan undi setiap ahli parlimen.

Sokongan terhadap Anwar

Walaupun kejayaan dalam undian sedemikian boleh dikatakan terjamin, sokongan terhadap Anwar dalam kalangan pengundi PH merosot sepanjang bulan lalu, bermula dengan kecaman terhadap rancangan untuk mengenakan cukai jualan ke atas semua buah-buahan import dan diikuti dengan dakwaan campur tangan kehakiman.

Anwar menafikan dakwaan campur tangan kehakiman dan menarik balik rancangan untuk mengenakan cukai ke atas epal, oren, limau mandarin, dan kurma import.

Pada Rabu lalu, dia juga mengumumkan pemberian bantuan RM100 secara sekali beri kepada semua warga dewasa serta penurunan harga RON95 sebanyak enam sen seliter.

Hari ini, Anwar mengakui setiap inisiatif mungkin tidak sempurna, namun kerajaan sentiasa berusaha untuk membaiki masalah yang ada.

“Saya tidak katakan apa-apa yang kita buat sempurna, tetapi kita sentiasa mendengar dan ubah suai apa-apa yang perlu,” katanya.

Dia juga meminta rakyat agar menilai usaha dan dasar kerajaan berdasarkan fakta, bukannya sentimen politik.

Walau dengan pelbagai usaha kerajaan, katanya lagi, masih ada pihak yang menyebarkan maklumat tidak tepat seperti kenaikan harga minyak dan barang.

"Ini negara bebas, demokratik, cuma kita harus beri penjelasan sebab dalam temu bual (semasa himpunan di Dataran Merdeka) itu ada ditanyakan (isu harga) minyak naik, padahal minyak turun. Pelbagai (fakta tidak benar).

"Maknanya, ini hanya sentimen politik, kebencian … tidak ikut fakta. Jadi, kita cadang supaya rakyat menilai mengikut fakta, kalau ada kelemahan kita boleh perbaik," katanya lagi seperti dipetik.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS