PARLIMEN | Kerajaan Madani komited meneruskan program Wakaf Air yang diperkenalkan ketika pentadbiran kerajaan PN pada 2020 dan pelaksanaannya bermula sejak 2021.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasir berkata sebanyak 83 projek dengan kos RM3,945,992.98 dibelanjakan dalam menjayakan program berkenaan setakat ini.
"Program Wakaf Air ditubuhkan bertujuan untuk melaksanakan projek-projek di kawasan luar bandar dan kawasan pedalaman yang menghadapi masalah bekalan air dan pembetungan.
"Keutamaan diberi kepada projek di kawasan luar bandar yang kritikal, tidak dapat dicapai oleh operator air dan pembetungan atau mempunyai masalah tekanan dan kapasiti air yang tidak mencukupi," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Akmal (PH-Johor Bahru) berkata demikian sebagai menjawab soalan lisan dikemukakan bekas Menteri Air dan Alam Sekitar, Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) yang bertanyakan status program tersebut.
Program Wakaf Air ditubuhkan dengan kerjasama Kementerian Alam Sekitar dan Air dan Yayasan Waqaf Malaysia melalui memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada 17 Disember 2020.
Ia bertujuan melaksanakan projek bekalan air, pelestarian sumber air dan sistem perkhidmatan pembetungan, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman yang menghadapi masalah bekalan.
Akmal berkata, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) sentiasa komited dalam memperkukuh kemampanan perkhidmatan bekalan air dan pembetungan.
Katanya, bekalan air mampan bawah Dasar Air Negara menetapkan hala tuju ke arah kemampanan industri bekalan dan pembetungan Negara.
"Ini termasuk memperkukuh aspek pembiayaan bagi memenuhi tuntutan operasi dan merealisasikan pelaburan jangka panjang infrastruktur bekalan air dan pembetungan.
"Dalam kerangka ini, pembiayaan melalui Wakaf Air telah dikenal pasti antara pendekatan yang berpotensi menyokong inisiatif pembangunan infrastruktur air, terutama kawasan yang kurang mendapat akses perkhidmatan berkenaan," katanya.

Tambahnya, kerajaan juga menyokong inisiatif Wakaf Air sebagai salah satu instrumen pembiayaan inovatif yang mampu melengkapi sumber pembiayaan sedia ada, khususnya dalam menjayakan projek-projek bersifat komuniti dan berimpak sosial.
"Pendekatan ini juga selari dengan aspirasi kerajaan untuk menggalakkan penglibatan pihak pemegang taruh seperti sektor swasta, dan masyarakat umum dalam pembangunan sektor air secara inklusif," jelasnya.
Akmal berkata, dia turut mengambil maklum dan akan menyemak berhubung keperluan untuk menaikan had siling pendanaan kerja bagi projek Wakaf Air yang kini ditetapkan sehingga RM50,000 bagi Semenanjung Malaysia dan RM75,000 bagi Sabah dan Sarawak.
Program Wakaf Air ditubuhkan dengan kerjasama Kementerian Alam Sekitar dan Air dan Yayasan Waqaf Malaysia melalui Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani pada 17 Disember 2020.
Ia bertujuan bagi melaksanakan projek-projek merangkumi bekalan air, pelestarian sumber air dan sistem perkhidmatan pembetungan khususnya melaksanakan projek-projek di kawasan luar bandar dan kawasan pedalaman yang menghadapi masalah bekalan air.
