Walaupun undang-undang Malaysia sudah mengharamkan bahan penderaan seksual terhadap kanak-kanak — termasuk yang dijana menggunakan kecerdasan buatan (AI) — pelaksanaan penguatkuasaan masih tergendala akibat kurangnya kefahaman dalam kalangan pihak berkuasa, kata para aktivis hak kanak-kanak.
Pengerusi Bersama Yayasan Inovasi dan Peningkatan Hak Kanak-Kanak (CRIB), Srividhya Ganapathy berkata Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 secara jelas merangkumi bahan yang dijana melalui AI di bawah takrifan luas akta tersebut.
Sehubungan itu, tegasnya tidak kira bagaimana bahan tersebut dihasilkan, individu yang didapati mengakses, menyebarkan atau menerbitkan bahan tersebut boleh didakwa selagi mana imej tersebut menggambarkan secara realistik seorang individu yang kelihatan seperti kanak-kanak terlibat dalam perlakuan seksual.
“(Takrifan bahan tersebut dalam undang-undang) dirangka secara menyeluruh untuk merangkumi imej yang dijana melalui AI serta imej yang bukan daripada kanak-kanak sebenar.

“Undang-undang tidak memerlukan sebarang pengesahan terhadap ‘ketulenan dan kesahihan bahan’ itu, dan ia juga tidak membuka ruang kepada sebarang ‘bukti yang dimanipulasi atau dipalsukan’,” katanya kepada Malaysiakini.
Kenyataan itu dibuat sebagai maklum balas terhadap dakwaan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Shamsul Anuar Nasarah bahawa penggunaan video deepfake berasaskan AI oleh pelaku jenayah seksual terhadap kanak-kanak telah menyukarkan siasatan pihak berkuasa.
Semasa berucap di Dewan Rakyat semalam, timbalan menteri tersebut berkata penggunaan deepfake menimbulkan halangan besar di mahkamah kerana kesukaran dalam mengesahkan ketulenan bahan berkenaan, di samping risiko kandungan yang dimanipulasi menghakis nilai bukti semasa perbicaraan.
Mengulas lanjut, Srividhya menegaskan wujud kekurangan kefahaman terhadap Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak – terutamanya dalam kalangan anggota polis barisan hadapan dan pegawai pendakwaan.
Belanjawan khusus
“Program latihan yang mampan dan khusus bagi memastikan pendakwaan yang berjaya terhadap kesalahan seksual kanak-kanak perlu dilaksanakan dengan segera.
“Pihak kerajaan sedar akan cabaran ini dan sedang berusaha memperbaikinya menerusi latihan menyeluruh, dengan Yayasan CRIB turut bekerjasama dengan Pejabat Perdana Menteri bagi membangunkan program latihan yang relevan,” tambahnya.
Dia turut menggesa kerajaan agar memperuntukkan belanjawan khusus bagi memastikan semua agensi penguatkuasaan yang berurusan dengan bahan penderaan seksual kanak-kanak dilengkapi dengan pengetahuan, kemahiran dan kefahaman yang diperlukan untuk menjayakan pendakwaan.
Sementara itu, pengasas bersama Voice of the Children, Sharmila Sekaran berkata amat membimbangkan jika penguat kuasa undang-undang masih mencari atau memerlukan mangsa kanak-kanak sebenar dalam usaha mengekang pemangsa seksual.
Jelasnya selain imej yang dijana AI, sesetengah grafik dalam buku komik atau animasi kartun juga boleh termasuk di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak jika ia menggambarkan perlakuan seksual terhadap kanak-kanak.
Dia berkata sudah memadai untuk memulakan siasatan sekiranya sesuatu bahan itu dilihat mempunyai niat menggambarkan pelanggaran terhadap kanak-kanak, Sharmila turut berkongsi kebimbangan mengenai tahap kefahaman pihak berkuasa terhadap akta berkenaan.
“Terdapat kekurangan serius dari segi tindakan dan penguatkuasaan serta pengetahuan kehakiman berkenaan kesalahan yang dilakukan apabila melibatkan bahan penderaan seksual terhadap kanak-kanak.
“Pada setiap peringkat, mereka yang memegang kuasa dan autoriti kelihatan tidak memenuhi piawaian yang sepatutnya dalam menangani isu ini. Pegawai penguat kuasa kita – daripada polis hingga ke pendakwa raya – perlu mempunyai lebih banyak pengetahuan, kesedaran, latihan dan kefahaman,” katanya ketika dihubungi.
Sharmila turut mengesyorkan agar para hakim merujuk kepada organisasi masyarakat sivil yang arif dalam isu ini apabila berhadapan dengan kes penderaan seksual kanak-kanak di mahkamah.
Katanya badan kehakiman mempunyai kuasa untuk berbuat demikian demi menjamin keadilan.
