Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, memberi jaminan bahawa dia tidak akan berhenti memperjuangkan keadilan buat Allahyarham Zara Qairina Mahathir "sehingga individu yang bertanggungjawab menerima hukuman yang setimpal."
Nurul Izzah yang juga anak kepada Presiden PKR dan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata dia juga memberi jaminan akan memastikan persekitaran yang lebih selamat untuk semua kanak-kanak di negara ini.
Dalam kenyataan yang dimuat naik di media sosial hari ini, Nurul Izzah mendedahkan bahawa dia terbang ke Kota Kinabalu, Sabah dua minggu lalu untuk bertemu keluarga Zara Qairina namun ketika itu ibu remaja terbabit belum bersedia untuk bersemuka.
“Saya tidak memaksa, tetapi syukur hari ini saya diberi ruang untuk menyampaikan takziah kepadanya secara bersemuka,” katanya.
Menurut Nurul Izzah, sebagai seorang ibu, dia turut merasai kesedihan yang ditanggung oleh ibu Zara Qairina dan memahami harapan wanita terbabit yang hanya ingin melihat anaknya membesar dengan sihat dan ceria.
Katanya, Zara Qairina itu seperti anak semua orang dan memiliki peribadi yang bersopan, akhlaknya mulia, dan merupakan seorang yang berpegang teguh pada ajaran agama.
"Pemergian Zara telah menyatukan kita semua merentasi sempadan dan perbezaan.
"Saya tidak akan berhenti memperjuangkan (kes Zara Qairina) sehingga orang yang bertanggungjawab menerima hukuman setimpal serta (wujud) persekitaran yang selamat untuk anak-anak kita," katanya.

Untuk rekod awal petang ini Jabatan Peguam Negara (AGC) mengeluarkan arahan agar suatu inkues dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian pelajar tingkatan satu sekolah menengah agama berkenaan.
Kata AGC, keputusan itu dibuat selaras dengan peruntukan subseksyen 339 (1) Kanun Tatacara Jenayah.
"Prosiding inkues ini bertujuan untuk menentukan punca dan sebab kematian, termasuk mengenal pasti sama ada terdapat unsur jenayah atau sebaliknya dalam kematian Zara Qairina," katanya.
Zara Qairina, 13, ditemui tidak sedarkan diri berhampiran longkang di tingkat bawah asrama sekolahnya di Papar pada 16 Julai lalu, dan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I di Kota Kinabalu sehari kemudian.
Keluarganya percaya kes itu melibatkan buli di sekolah dan pelbagai perkembangan yang berlaku selepasnya mencetuskan pelbagai reaksi, termasuk dakwaan wujud konspirasi dalam kalangan orang kenamaan.
Ia menjadi lebih panas apabila didapati polis tidak melakukan bedah siasat ke atas jenazah pelajar terbabit.
Bukit Aman kemudiannya memutuskan untuk mengambil alih siasatan dan menghantar sembilan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah ke Sabah bagi memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh dan telus.
Menurut Nurul Izzah dia akan terus memantau perkembangan kes tersebut secara rapat dan menyeru seluruh masyarakat untuk cakna serta memainkan peranan melindungi anak-anak daripada sebarang bentuk penderaan dan ancaman.
Dia juga mengajak rakyat untuk terus berdoa dan berusaha agar keadilan dapat ditegakkan dan tragedi serupa tidak berulang lagi.
