Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes kematian Zara Qairina: AGC arah laksanakan inkues
Diterbitkan:  Aug 13, 2025 2:13 PM
Dikemaskini: 6:35 AM

Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini memutuskan untuk mengadakan inkues berhubung kematian pelajar tingkatan satu sebuah sekolah menengah agama Sabah, Zara Qairina Mahathir.

Dalam kenyataan dikeluarkan awal petang ini, AGC berkata pihaknya sudah meneliti laporan siasatan yang disediakan polis pada semalam.

"Jabatan ini memutuskan agar inkues dijalankan selaras dengan peruntukan di bawah subseksyen 339 (1) Kanun Tatacara Jenayah.

"Prosiding inkues ini bertujuan untuk menentukan punca dan sebab kematian, termasuk mengenal pasti sama ada terdapat unsur jenayah atau sebaliknya dalam kematian Zara Qairina," kata AGC dalam kenyataan berkenaan.

Tambah jabatan itu proses inkues tersebut akan dikendalikan di mahkamah korener secara bebas dan telus mengikut peruntukan undang-undang.

Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri berhampiran longkang di tingkat bawah asrama sekolahnya di Papar pada 16 Julai, dan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I di Kota Kinabalu sehari kemudian.

Keluarganya percaya kes itu melibatkan buli di sekolah dan pelbagai perkembangan yang berlaku selepasnya mencetuskan pelbagai reaksi, termasuk dakwaan wujud konspirasi dalam kalangan orang kenamaan.

Ia menjadi lebih panas apabila didapati polis tidak melakukan bedah siasat ke atas jenazah pelajar terbabit.

Susulan kekecohan dan kritikan orang ramai, minggu lalu AGC mengeluarkan arahan agar mayat Zara Qairina digali semula untuk bedah siasat.

Bukit Aman kemudiannya memutuskan untuk mengambil alih siasatan dan menghantar sembilan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah ke Sabah bagi memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh dan telus.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS