Polis mengesahkan seorang pegawai cedera dalam pergelutan yang berlaku ketika penyerahan memorandum di luar parlimen melibatkan kumpulan pekerja ladang pada pagi semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus berkata satu laporan telah dibuat berhubung insiden itu.
"Akibat daripada rempuhan yang berlaku, seorang pegawai polis telah mengalami kecederaan dan telah mendapatkan rawatan.
“Satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 353/427 Kanun Keseksaan,” katanya pada satu kenyataan semalam.
Provokasi melampau
Fadil berkata pihaknya menghormati hak rakyat untuk menyuarakan pandangan serta berhimpun secara aman dan tertib, selaras dengan nilai-nilai demokrasi yang diamalkan di negara ini dan komited untuk memainkan peranan sebagai pemudah program seperti itu.
“Peruntukan ini adalah di bawah Perlembagaan Persekutuan dan seharusnya digunakan secara baik dan berhemah...
"Tindakan tegas akan diambil terhadap individu atau kumpulan yang mencetuskan kekacauan atau provokasi melampau,” katanya.

Dalam rakaman video yang turut dilihat Malaysiakini, berlaku pergelutan antara beberapa pekerja ladang dengan polis selepas pihak berkuasa dilihat cuba menghalang perarakan ke pintu pagar Parlimen.
Timbalan Pengerusi PSM, S Arutchelvan, juga kelihatan terjatuh ke tanah.
Dalam video itu, penunjuk perasaan kedengaran menjerit “Jangan tolak”, “Henti”, dan “so aggressive”.
Selepas Arutchelvan bangun, polis dilihat cuba menghalangnya bersama beberapa individu lain daripada berarak lebih jauh.

Arutchelvan berkata insiden sedemikian tidak sepatutnya berlaku kerana rakyat berhak berhimpun secara aman di luar Parlimen.
Pemimpin PSM itu bersama ratusan pekerja ladang, berarak dari Taman Tugu ke bangunan parlimen untuk menyerahkan memorandum mendesak kerajaan menggubal undang-undang yang mewajibkan syarikat perladangan membina rumah untuk pekerja mereka.
Memorandum itu diserahkan kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran, wakil kepada Timbalan Perdana Menteri Kedua, dan Ketua Whip Perikatan Nasional, Takiyuddin Hassan.
Arutchelvan menjelaskan sejak era bekas perdana menteri Abdul Razak Hussein, telah wujud satu skim yang mewajibkan syarikat perladangan membina rumah untuk pekerja ladang.
Namun, ketiadaan undang-undang khusus menyebabkan syarikat perladangan tidak mematuhi syarat tersebut.

