Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyuarakan rasa kesal apabila retorik perkauman menurutnya dijadikan senjata untuk mengekang usaha kerajaan dalam meningkatkan kebajikan rakyat.
Berucap di Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2025 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) Serdang hari ini, Anwar mendakwa ada pihak yang sering bersandar kepada sentimen perkauman dalam menyatakan bantahan terhadap langkah dan keputusan kerajaan.
“Tiap kali ada pelantikan, tiap kali ada ikhtiar baru (oleh kerajaan), tiap kali ada Rang Undang-Undang (RUU) baru, masalah kaum dibangkitkan.
“(Bagaimanapun) saya bersyukur majoriti rakyat masih gunakan hikmah dan kebijaksanaan, lihat fakta dan angka, bukan sentimen buruk yang boleh melemahkan kekuatan negara kita,” katanya.
Anwar berkata walaupun Malaysia unik dari segi perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum dan agama, “unsur negatif” sedemikian mengkhianati semangat itu.
Walaupun Anwar tidak menghuraikan secara terperinci langkah kerajaan yang menjadi sasaran pihak yang memainkan isu perkauman, semalam dia menggesa pihak yang mengecam RUU Pembaharuan Semula Bandar (PSB) agar tidak mengeksploitasi sentimen perkauman.
Gesaan itu dibuat selepas dia mengecam pembangkang kerana menuduh kerajaan cuba mengusir orang Melayu melalui RUU tersebut, sambil menegaskan dia bukan boneka yang akan membiarkan dirinya diperalatkan oleh sesiapa untuk menghalau orang Melayu agar orang Cina dapat mengambil alih hartanah mereka.
RUU itu, yang menerima kritikan hebat daripada pembangkang dan pihak berkepentingan, telah dibentangkan untuk bacaan pertama di Dewan Rakyat pada 21 Ogos, manakala bacaan kedua pada 28 Ogos.
Bagaimanapun, perbahasan dan undiannya telah ditangguhkan ke sidang Dewan Rakyat seterusnya pada Oktober, dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata pihaknya akan memperkenalkan beberapa penambahbaikan.
Isu rakyat
Sementara itu, Anwar hari ini berkata dia sedar negara sedang berdepan dengan masalah yang memerlukan perhatian kerajaan, dan memberi jaminan entadbirannya bertekad untuk menanganinya demi meningkatkan kesejahteraan rakyat.
“Setiap mesyuarat jemaah menteri tidak pernah berlalu tanpa membincangkan soal-soal yang dihadapi rakyat, sam ada pendidikan, kesihatan, harga barang…
“Kenaikan harga (barang) lima sen runsingkan kita, walaupun kita tahu di negara-negara luar, (harga barang) naik lebih mendadak. Dan walaupun kita tahu, semasa rakan-rakan sebelah sana (pembangkang) memerintah, harga (barang) itu (naik) melambung,” katanya lagi.
Anwar muga menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi dengan kumpulan yang menggunakan “cara haram dan khianat” untuk merosakkan negara, sambil merujuk kepada tindakan penguatkuasaan terhadap kartel ayam yang telah lama beroperasi.
“Adakah sudah sempurna? Tidak. Penyeludupan masih ada (tapi) maksud merdeka adalah tekad kita untuk bebaskan dan hapuskan kegiatan-kegiatan sedemikian,” katanya lagi.
