Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki hari ini berkata pelucuthakan wang tunai RM170 juta yang dikaitkan dengan dakwaan rasuah terhadap bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob tidak bermakna tiada pertuduhan akan dikenakan terhadap bekas perdana menteri itu.
Pada sidang media di Putrajaya, Azam berkata keputusan Ismail Sabri untuk tidak mencabar pelucuthakan itu akan menyaksikan wang berkenaan dimasukkan ke dalam dana kerajaan.
“Kami melucutkan wang RM170 juta itu [...] Saya tidak kata tidak perlu dakwa dia.
"Saya serahkan (pertuduhan) itu kepada keputusan timbalan pendakwa raya," kata Azam kepada wartawan.
Wang tunai RM170 juta dalam pelbagai mata wang telah dirampas semasa serbuan pada Mac ke atas beberapa premis termasuk "rumah selamat" (safehouse) empat bekas pembantu Ismail Sabri.
Pada bulan Jun, SPRM berkata ia telah menyelesaikan siasatannya di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan, dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, dan akan memohon untuk menyita wang itu.
Pada 22 Mei, SPRM mengesahkan bahawa Ismail Sabri telah mengisytiharkan hartanya kepada SPRM, sebagai sebahagian daripada siasatan ke atas dakwaan rasuah berhubung kempen Keluarga Malaysia ketika pentadbirannya.
Azam ketika itu berkata, pengisytiharan itu telah diserahkan kepada SPRM pada 10 Feb.
Suruhanjaya itu juga telah merekodkan kenyataan daripada sejumlah 57 individu bagi membantu siasatan.
Sementara itu, Azam berkata SPRM akan meneruskan siasatan terhadap seorang lagi bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad, yang berlangsung sejak April tahun lepas.
“Kami masih mencari maklumat daripada negara luar, khususnya di UK, berhubung dengan aset milik Mahathir.
“Kami akan mengemas kini lebih lanjut sekiranya menerima maklumat itu,” katanya.
Siasatan SPRM juga melibatkan anak Mahathir, Mirzan dan Mokhzani yang kedua-duanya telah diarah mengisytiharkan kekayaan mereka kepada agensi antirasuah itu.
