Ahli Majlis Penasihat Perbadanan Pembangunan Kampong Baru merangkap Ketua Cabang PKR Titiwangsa, Syed Badli Shah Syed Osman mengecam tindakan pihak luar yang didakwa mencetuskan provokasi di tapak pembangunan semula Sungai Baru baru-baru ini.
Menurutnya, insiden itu turut mengakibatkan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Sulizmie Affendy Sulaiman cedera ketika cuba menyuraikan kumpulan yang terlibat.

“Isu pembangunan semula Sungai Baru telah sengaja dipolitikkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab dengan mencetuskan ketegangan umum untuk mengecam kerajaan sedia ada.
“Majoriti yang hadir bukanlah penduduk setempat, sebaliknya orang luar yang termakan hasutan kononnya kerajaan bertindak zalim mengusir penduduk,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Syed Badli berkata, sehingga kini 304 premis sudah bersetuju mengosongkan unit masing-masing secara sukarela dengan pampasan yang setimpal, sementara hanya baki 24 lot masih tertangguh.

Katanya, Mahkamah Tinggi telah menetapkan 11 Sept 2025 sebagai tarikh pelaksanaan Writ Milikan Kosong kali kedua terhadap baki lot tersebut.
“Namun tindakan pihak berwajib yang mendapat kebenaran mahkamah untuk mengosongkan unit-unit terbabit telah dihalang dengan provokasi,” tambahnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh serta mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang didakwa menghasut hingga mencetuskan insiden berkenaan.
Dalam kejadian hari ini, Suzilme Affendy mengalami kecederaan ketika operasi pengosongan kediaman terhadap penduduk Kampung Sungai Baru di Kuala Lumpur yang enggan berpindah.

Kejadian dikatakan berlaku ketika kekecohan tercetus apabila beberapa penduduk cuba merempuh masuk ke kawasan operasi.
Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru dengan sebahagian penduduk enggan berpindah, bukan semata-mata kerana pampasan, tetapi kerana ingin mempertahankan warisan rumah pusaka keluarga.
Menurut laporan media tempatan, projek pembangunan di kawasan itu bermula sejak 2016 dengan persetujuan 260 penduduk namun terhenti apabila 37 penduduk membantah.
Pemaju kemudian menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 bagi mengambil alih tanah terbabit.
Namun laporan Malaysiakini menyebut seramai 219 pemilik telah bersetuju manakala 109 pemilik lagi masih mempertahankan hak mereka.

Pada 14 Jun lalu, sekumpulan penduduk Kampung Sungai Baru menegaskan mereka enggan berganjak dari kediaman mereka meskipun pemaju mula memasuki kawasan itu.
Malah, menurut wakil kumpulan penduduk itu, mereka juga tidak akan teragak-agak untuk "bertembung" dengan pemaju jika cuba mengusir mereka keluar dari kediaman.
Pengerusi Jawatankuasa Hak Penduduk, Zainab Alias berkata, mereka membantah pengambilan tanah secara paksa di bawah Akta Pengambilan Tanah (APT) 1960 Seksyen 3(1)(c) yang menurutnya mencabul hak pemilik seperti dijamin Perlembagaan Persekutuan.
