story images
story images
mk-logo
Berita
Audio 'Hadi namakan Hamzah' calon PM? PAS berteka-teki

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan hari ini mengelak daripada menjawab soalan berhubung kandungan rakaman audio yang mendakwa parti itu mahu Timbalan Presiden Bersatu, Hamzah Zainudin dinamakan calon perdana menteri PN.

Takiyuddin berkata beban untuk membuktikan dakwaan itu terletak kepada individu yang membuat tuduhan.

Takiyuddin juga berteka-teki ketika ditanya mengenai pertemuan yang didakwa berlangsung, dengan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang didakwa mencalonkan Hamzah.

Jelasnya, menjadi perkara biasa bagi pemimpin parti komponen PN bertemu secara berkala.

“Kita (PAS) dalam Perikatan Nasional sentiasa kita ada perjumpaan dengan Gerakan, dengan MIPP, dengan apatah lagi dengan Bersatu sentiasa ada perjumpaan.

"Jadi kalau nak kata perjumpaan top five PAS ke, siapa ke itu biasa.

“Malah kita semasa sidang parlimen kita selalu Presiden PAS ni buat apa dia macam panggil usrahlah, semua ahli parlimen Perikatan Nasional datang sini untuk dengar.

"Jadi bagi kita perjumpaan tu adalah perkara biasa lah, bukan perkara yang asing.

Para pemimpin PN, dari kiri Takiyuddin Hassan, Muhyiddin Yassin dan Abdul Hadi Awang.

“Adapun perkara yang dikatakan itu, siapa yang mendakwa tu dia lah berhak membuktikan 'the burden of proof in the on the prosecution lah', siapa yang mendakwa tu dia kena jawab lah,” kata Takiyuddin pada sidang media di Kuala Lumpur.

Terdahulu hari ini, satu klip audio pendek tular di Whatsapp. Ia mengandungi suara yang mirip seorang pemimpin Bersatu — kedengaran seperti sedang bercakap kepada sekumpulan individu — mendakwa Hadi membuat cadangan itu dalam satu pertemuan antara pemimpin tertinggi PAS dengan beberapa pemimpin Bersatu, termasuk Hamzah.

Apabila terus ditekan untuk mengesahkan atau menafikan jika PAS telah memutuskan menamakan Hamzah, Takiyuddin kembali merujuk kepada pendirian Hadi.

Katanya, presiden PAS telah menegaskan PN sepatutnya menumpukan usaha untuk memenangi pilihan raya umum akan datang terlebih dahulu dan hanya membuat keputusan mengenai siapa bakal perdana menteri selepas berjaya membentuk kerajaan.

Dia turut mengulangi bahawa keputusan sebegitu hanya boleh dibuat secara kolektif oleh PN dan sehingga kini, belum ada sebarang keputusan.

"Presiden PAS kata kita tak nak menamakan siapa pun sebagai perdana menteri. Kita nak menang PRU16 dulu. Perdana menteri datang kemudian.

"Kita ramai calon-calon perdana menteri, bukan satu je lebih daripada satu pun di kalangan Perikatan Nasional.

"Saya rasa tak timbul benda tu, dengan Tuan Guru Haji Hadi jelas ya tak menamakan Perikatan Nasional, tak menamakan siapapun untuk jadi perdana menteri selepas PRU16,” tegasnya.

Patut luang sedikit masa

Dalam artikel yang diterbitkan di Fulcrum, bekas pemimpin kanan Umno, Khairy Jamaluddin, turut memberi perhatian kepada keretakan dalaman PN dengan menyifatkan keputusan PAS untuk menyokong Hamzah berbanding Muhyiddin sebagai langkah strategik.

Dia yang juga bekas Ketua Pemuda Umno berkata sekiranya berlaku parlimen tergantung - apabila tiada mana-mana parti mampu memperoleh majoriti di Dewan Rakyat - Yang di-Pertuan Agong boleh memainkan peranan penting memilih perdana menteri, dan Hamzah dianggap sebagai tokoh yang lebih diterima oleh Istana Negara.

“Beliau (Hamzah) juga, buat masa ini, tidak mempunyai beban politik yang dibawa oleh Muhyiddin dengan kes rasuahnya,” kata Khairy.

Dia yang kini aktif sebagai penyampai radio dan mengendalikan audio siar Keluar Sekejap berkata PAS melihat Hamzah sebagai pemimpin yang ada peluang lebih baik untuk mengembalikan PAS dan PN ke tampuk kuasa.

Namun, katanya, ketika semua parti politik Malaysia sibuk dengan 'poster boy' masing-masing, mereka berisiko kehilangan tumpuan.

Menurut Khairy, ketaasuban terhadap personaliti - yang kebanyakannya adalah ahli politik yang semakin tua - mengalih perdebatan politik negara daripada perdebatan tentang dasar-dasar utama negara.

"Sebenarnya, PN telah dikritik kerana tidak menjadi pembangkang yang substantif sebaliknya lebih bergantung kepada tipu muslihat ruang belakang dan bermain dengan politik identiti yang memecahbelahkan.

"Sepatutnya lebih bijak bagi mereka untuk meluangkan sedikit masa memilih siapa yang hendak ditawarkan kepada pengundi, dan lebih memikirkan apa yang rakyat Malaysia mahukan daripada kerajaan akan datang," tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS