Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

MIC hari ini memberikan penegasan keras untuk Umno dengan mengingatkan bahawa “semangat Perikatan” yang pernah melahirkan Malaysia masih hidup.

Dalam ucapan dasar sempena perhimpunan tahunan parti itu di Kuala Lumpur hari ini, presidennya SA Vigneswaran berkata semangat tersebut dibina atas rasa persahabatan, bukan kerana terpaksa.

Katanya ketika ini BN hanya dianggota tiga parti iaitu Umno, MCA dan MIC sendiri berbanding 13 suatu ketika dulu.

"Perikatan tersebut tidak dibina atas desakan, tetapi atas persahabatan; bukan atas kuasa, tetapi atas prinsip; bukan atas dominasi, tetapi atas maruah.

“Perikatan itulah yang memberi kita kemerdekaan. Ia memberi kita identiti. Ia memberi kita tanah air bernama Malaya kemudiannya Malaysia.

"Justeru, kita harus bertanya – bukan sebagai ahli politik, tetapi sebagai insan yang memikul warisan ini di bahu. Ia soalan yang bernilai jutaan ringgit: mengapa yang lain telah meninggalkan BN?

“Mengapa kita masih dengan BN? Dan dalam hati kita, bolehkah kita benar-benar percaya bahawa BN hari ini masih mencerminkan Perikatan yang asal?

"Kita memulakan perjalanan kita dengan menjadi sebahagian daripada Perikatan. Hari ini, ketika kita melihat sekeliling, melihat ke dalam diri kita, persoalan yang mesti ditanya: Adakah kita sedang dipanggil keluar BN untuk kembali memasuki Perikatan?" katanya di Shah Alam hari ini.

Jangan ‘kurung’ suara MIC

Kenyataan itu dibuat ketika hubungan di antara Umno dan parti komponen lain belum menunjukkan tanda-tanda akan kembali erat, dengan sesekali kenyataan keras ditujukan kepada pemimpin tertingginya, Ahmad Zahid Hamidi.

MCA dan MIC juga disebut-sebut mungkin akan meninggalkan BN.

Untuk rekod banyak parti meninggalkan BN selepas gabungan itu kalah kali pertama dalam PRU 2018. BN sekali lagi gagal kembali kepada kuasa apabila PRU ke-15 diadakan – pada 2022 – namun hasil kerjasama dengan PH, mereka berjaya menjadi sebahagian daripada kerajaan perpaduan.

Menurut Vigneswaran maksud Perikatan bukan sekadar apa yang ada pada namanya, tetapi berdasarkan tujuan, kepercayaan dan kerjasama tulen yang membina negara ini.

Perikatan didaftarkan secara rasmi pada 1957 melalui persefahaman yang dibentuk antara Tunku Abdul Rahman Putra, Tan Cheng Lock, dan VT Sambanthan sebagai antara langkah menuju kemerdekaan.

Perikatan kemudian menjadi BN pada tahun 1973 dengan melibatkan lebih banyak parti termasuk PAS.

Sebelum ini, MIC dijangka akan mengumumkan keputusan parti itu sama ada kekal bersama BN atau meninggalkannya dalam perhimpunan yang dihadiri 1,808 perwakilan dari seluruh negara hari ini.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan pemimpin BN didakwa meminta MIC menangguhkan dulu sebarang keputusan mengenai masa depan parti itu.

Sumber dalaman BN memberitahu pucuk pimpinan kedua-dua parti kerajaan bimbang langkah MIC akan memberi kesan kepada prestasi gabungan pada pilihan raya negeri (PRN) Sabah 29 Nov ini.

Bukan kesetiaan buta

Terdahulu, Vigneswaran dalam ucapan sama tidak ketinggalan mengecam Umno dengan menegaskan bahawa kesetiaan lebih enam dekad parti itu tidak lagi boleh disalah ertikan sebagai kelemahan.

Katanya, tindakan Umno mengetepikan MIC sebagai pengkhianatan halus, bukannya pengabaian semata-mata.

"MIC bukan rakan junior, bukan boneka politik. Kita adalah pengasas, tiang, dan pemegang amanah gabungan ini sejak awal lagi. Jika ada yang lupa, kita ada rekod sejarah.

"Kesetiaan MIC selama lebih enam dekad bukan untuk dibuli, bukan untuk diketepikan, dan bukan untuk dipermainkan demi kelangsungan politik pihak lain,” katanya.

Vigneswaran juga berkata sejak kekalahan BN pada 2008 dan 2018, MIC tetap setia di sebalik pengabaian terhadap suara parti itu sehingga hak masyarakat India diabaikan dalam rundingan kerusi dan jawatan politik.

Dia menyifatkan keputusan Umno untuk mengadakan PRU ke-15 lebih awal tanpa rundingan sebagai bukti bahawa MIC dianggap sekadar ‘penyumbang undi tetap’, bukan rakan strategik.

"Hasilnya, MIC kini tiada menteri, tiada wakil dalam GLC, dan tiada pelantikan signifikan adalah bukti jelas bagaimana kepentingan masyarakat India dipinggirkan oleh Pengerusi BN (Ahmad Zahid) sendiri.

"MIC tidak akan lagi membenarkan kesetiaan mereka dibelokkan menjadi kelemahan politik. Kesetiaan buta kepada gabungan yang meminggirkan MIC adalah satu kesalahan. Diam tidak lagi menjadi pilihan.

"Kami tidak akan lagi membenarkan suara MIC dikurung dalam batas yang ditetapkan pihak lain," katanya.

Vigneswaran turut mengutuk Umno kerana membuat keputusan strategik tanpa rundingan dengan MIC demi kelangsungan parti mereka sendiri, tanpa mengambil kira masa depan masyarakat India.

"Setiap keputusan yang mengabaikan MIC adalah pengkhianatan bukan sahaja kepada parti, tetapi kepada komuniti yang telah memberi kesetiaan mereka selama berpuluh tahun.

"Landskap politik kini chaotic dan penuh dengan perpecahan, dan MIC tidak boleh lagi menjadi alat untuk kelangsungan politik pihak lain.

"Jika rakan dominan tidak menghormati kita, kita tidak akan tunduk. MIC tidak akan diperalatkan lagi. Cukup sudah dibuli," tegasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS