Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MIC diminta tangguh umum 'keluar' BN kerana PRN Sabah - sumber

Pimpinan BN didakwa meminta MIC menangguhkan sebarang keputusan mengenai masa depan parti itu menjelang perhimpunan agung tahunannya pada 16 November ini.

Sumber dalaman BN memberitahu Malaysiakini bahawa pucuk pimpinan kedua-dua parti kerajaan itu bimbang langkah MIC itu akan memberi kesan kepada prestasi gabungan pada pilihan raya negeri (PRN) Sabah pada 29 November ini.

"Beberapa pemimpin kanan BN meminta MIC supaya tidak membuat sebarang pengumuman besar bulan ini.

"Mereka risau tindakan itu memberi isyarat perpecahan dalam kerajaan perpaduan, terutama ketika PRN Sabah menjadi tumpuan seterusnya," dakwa sumber itu.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan MIC dijangka membuat keputusan berhubung masa depannya dalam BN dalam perhimpunan agungnya.

Parti itu dikatakan sedang menilai kemungkinan keluar daripada BN berikutan rasa tidak puas hati terhadap kedudukan mereka, khususnya selepas Umno bawah pimpinan Ahmad Zahid Hamidi bekerjasama dengan PH.

Antara kebimbangan utama mereka ialah pembahagian kerusi pilihan raya yang memihak kepada parti penyandang.

Berdasarkan formula perkongsian kerusi antara BN dan PH, MCA dan MIC dijangka hanya akan mendapat sebilangan kecil kerusi untuk ditandingi dalam pilihan raya umum akan datang.

Tunggu jumpa PM

Ketika ini, MCA hanya memiliki dua kerusi parlimen, manakala MIC satu.

Mesyuarat agung tahunan MIC di beberapa negeri baru-baru ini meluluskan usul agar parti itu keluar BN.

Negeri tersebut adalah Kedah, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan.

Timbalan Presiden MIC, M Saravanan, bagaimanapun menegaskan bahawa keputusan sedemikian bukan di tangan kepimpinan tertinggi parti, sebaliknya akan diputuskan oleh perwakilan perhimpunan agung.

Bagaimanapun sumber mendakwa sehingga kini tiada sebarang kata putus daripada MIC.

"MIC belum memberi maklum balas. Saya diberitahu bahawa MIC sedang menunggu perjumpaan dengan Perdana Menteri (Anwar Ibrahim).

"Mungkin ada keputusan selepas berjumpa PMX," katanya lagi.

Malaysiakini telah menghubungi pimpinan MIC untuk mendapatkan komen.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS