Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Puad selar MIC: Jangan dolak-dalik dengan sejambak bunga
Diterbitkan:  Nov 17, 2025 12:02 PM
Dikemaskini: 4:16 AM

Anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Puad Zarkashi menempelak MIC susulan kenyataan presidennya, SA Vigneswaran yang menegaskan parti itu tidak akan meminta maaf kepada Umno.

Puad berkata isu permohonan maaf itu tidak pernah timbul kerana Umno sendiri tidak pernah mendesak MIC berbuat demikian, walaupun Vigneswaran sebelum ini menuduh Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi sebagai “penipu”.

Puad Zarkashi

“MKT Umno tak bincang dan desak MIC minta maaf.

“Lebih baik MIC minta maaf kepada masyarakat India jika rasa bersalah hingga dihukum teruk di PRU ke 15,” katanya, merujuk ketegangan yang timbul ketika parti India itu mempertimbangkan kedudukan mereka dalam BN.

Menurutnya, kemelut MIC sebenarnya bukan soal prinsip politik, tetapi berpunca daripada “seorang dua pemimpin yang kecewa tidak mendapat jawatan”, sedangkan itu prerogatif Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Wakil rakyat MIC tidak ada masalah. Mereka tetap berkhidmat dengan baik,” katanya lagi.

MIC berbelit-belit tentukan hala tuju politik

Puad turut mengingatkan bahawa MIC sendiri pernah membuat keputusan unilateral — termasuk ketika masuk dan keluar Perikatan Nasional pada 2020 — tanpa merujuk Umno, dan sebab itu Umno tidak pernah menganggap MIC sebagai junior partner atau rakan kongsi bawahan.

Mengulas laporan bahawa Anwar menghantar sejambak bunga ke Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan MIC semalam, Puad menyindir parti itu supaya tidak menggunakan isyarat tersebut untuk berbelit-belit dalam menentukan hala tuju politik mereka.

“Perwakilan MIC serah pada pimpinan MIC buat keputusan.

“Jangan jadikan pula sejambak bunga daripada PMX untuk dolak dalik. Kalau mahu sertai PH (Pakatan Harapan) tiada yang larang.

“Vigneswaran bukan junior politician. Bukan budak-budak,” katanya lagi.

Sementara itu, Presiden Urimai, P Ramasamy, yang merupakan sekutu PN menyifatkan MIC kini berada dalam dilema politik yang serius, tersepit antara BN, kerajaan PH, dan gabungan pembangkang.

‘MIC akan terus sokong Madani’

Menurut bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang itu, akar umbi MIC jelas mahu parti berkenaan keluar daripada BN dan secara simbolik menyokong PN. Namun, pimpinan utama parti didakwa masih bimbang walaupun pengundi dan ahli akar umbi sudah memberi mandat jelas.

P Ramasamy

“Masalah MIC bukanlah hubungan mereka dengan Umno dalam BN semata-mata, tetapi kedudukan parti itu dalam komuniti India.

“Sokongan pengundi India kini banyak beralih kepada DAP dan PKR yang menampilkan diri mereka sebagai parti pelbagai kaum,” katanya.

Ramasamy menegaskan, walaupun MIC pernah dianggap rakan kongsi penting BN, kekurangan asas sokongan dalam komuniti mereka sendiri melemahkan pengaruh parti itu.

Justeru, Umno, yang kini tidak lagi sehegemonik seperti dulu, tidak lagi mudah menghormati atau memberi ruang kepada MIC seperti dahulu.

Kemenangan buat PN

Tambahnya, walaupun pimpinan parti takut mengambil langkah keluar BN, sekiranya MIC bertindak demikian, mereka mungkin masih akan menyokong kerajaan Madani sehingga tamat penggal. Namun, sokongan itu tidak dijangka memberi sebarang pengaruh nyata kepada MIC dalam kerajaan.

“Secara simbolik, penyertaan MIC ke dalam PN boleh dianggap kemenangan bagi pembangkang.

“Tetapi bagaimana MIC akan berperanan dalam politik pembangkang masih belum jelas,” katanya.

Ramasamy turut menggambarkan keadaan parti itu sebagai “tersangkut antara syaitan dan lautan biru”, sambil menekankan bahawa tinggal dalam BN kini menjadi sukar kerana kekurangan penghormatan dan martabat.

“Akar umbi mahu MIC menyertai PN, tetapi kepimpinan masih belum membuat keputusan, menunjukkan jurang antara kehendak ahli dan kebimbangan pemimpin,” katanya lagi.

Pandangan Ramasamy menyorot dilema MIC yang bukan sekadar isu kerjasama politik, tetapi juga soal kelangsungan dan relevansi parti dalam landskap politik Malaysia yang semakin berubah.

Semalam Perhimpunan Agung Tahunan MIC memutuskan untuk menangguhkan keputusan sama ada untuk kekal dalam BN atau keluar dari gabungan itu dan menyerahkannya kepada kepimpinan parti.

Pada mulanya dilaporkan perwakilan menyokong usul agar MIC keluar BN dan menyertai Perikatan Nasional (PN), namun mereka kemudiannya menyerahkan keputusan muktamad kepada kepimpinan parti — tetapi membayangkan kemungkinan besar mereka akan mengambil keputusan untuk keluar BN.

Sebelum ini, MIC mengkritik Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi sebagai seorang yang tidak boleh dipercayai — satu langkah yang jarang berlaku secara terbuka oleh parti komponen BN.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS