Penduduk Kampung Papan di Pandamaran hari ini tampil mendesak kerajaan Selangor memberikan jaminan rasmi berhubung tawaran penyelesaian yang diumumkan selepas episod perobohan rumah yang mencetuskan kekecohan minggu lalu.
Menurut mereka, setelah 25 tahun berjuang mempertahankan kediaman masing-masing, masih belum ada sebarang dokumen rasmi daripada kerajaan negeri yang mengesahkan tawaran tersebut.
Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Papan, Teoh Ah Guat berkata kelewatan itu menambahkan lagi keresahan mereka.
“Sampai sekarang, tiada hitam-putih (tawaran diberikan).

“Exco pula kata hanya rumah kosong akan dirobohkan, tetapi rumah yang berpenghuni juga dirobohkan,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.
Teoh bersama kumpulan penduduk dan aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) turut mengoyakkan kenyataan media Exco Perumahan dan Kebudayaan, Borhan Aman Shah, bertarikh 14 Nov, yang menyebut kerja perobohan hanya dibenarkan ke atas struktur kosong tanpa penghuni — sejajar dengan penyelesaian berhemah kerajaan negeri.
Insiden minggu lalu menyaksikan ketegangan antara penduduk dan pihak berkuasa sehingga membawa kepada penahanan 23 aktivis dan penduduk yang cuba menghalang operasi tersebut.
Pada Jumaat lalu, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari mengumumkan penduduk terjejas bakal ditawarkan kediaman mampu milik yang akan dibangunkan Permodalan Negeri Selangor Bhd (PNSB), susulan persetujuan pemaju menyerahkan tanah seluas 2.83 hektar untuk projek pembangunan menyeluruh.

Teoh bagaimanapun menegaskan penduduk masih menunggu pengesahan rasmi serta sesi rundingan yang dijanjikan kerajaan negeri.
“Kami mahu kerajaan negeri mengadakan perbincangan dengan penduduk terlibat, sampai sekarang kita tak terima apa-apa yang hitam-putih.
“Kami mahu tiada lagi perobohan dilakukan, perbincangan dan tawaran hitam-putih,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi PSM, S Arutchelvan mendakwa operasi perobohan itu sendiri menyalahi undang-undang kerana arahan mahkamah hanya membenarkan pengosongan rumah — bukan merobohkannya.

“Tetapi itu tidak berlaku, kami persoalkan di mana perintahan perobohan? Tak ada. Tetapi tetap dirobohkan.
“Arahan bailif mahkamah menyatakan arahan untuk pengosongan, bukan perobohan,” tegasnya.
