Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hak 40% Sabah: Armizan sokong Madani walau Ewon 'angkat kaki'

Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Armizan Ali berhati-hati ketika mengulas isu tuntutan 40 peratus hasil negeri Sabah.

Bercakap pada sidang media hari ini, menteri persekutuan itu dilihat mempertahankan keputusan Putrajaya untuk merayu terhadap sebahagian alasan penghakiman dalam keputusan Mahkamah Tinggi — sambil cuba mengelakkan kemarahan politik yang kini mengubah garis pertembungan di Sabah.

“40 peratus itu hak Sabah,” kata Armizan namun menegaskan rayuan yang difailkan Jabatan Peguam Negara hanya menyasarkan bahagian tertentu dalam penghakiman mahkamah dan bukan menolak hak tersebut.

Katanya terdapat keperluan menyelesaikan isu 48 “tahun yang hilang”, iaitu tempoh ketika Sabah hanya menerima RM26.7 juta setahun walaupun Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan menetapkan semakan berkala perlu dibuat.

Armizan jelas mengambil pendirian berbeza berbanding Presiden Upko, Ewon Benedick yang meletak jawatan kabinet pada 8 Nov dan membawa partinya keluar daripada Pakatan Harapan pada 10 Nov selepas kecewa dengan pendekatan Putrajaya terhadap isu berkenaan.

Pada 17 Okt, Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu Celestina Stuel Galid memutuskan kerajaan persekutuan bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa berdasarkan Perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil persekutuan selama hampir lima dekad.

Susulan itu, dia mengisytiharkan bahawa perintah semakan geran khas yang dikeluarkan bersama oleh kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri sebagai “tidak sah, ultra vires (melampaui kuasa), dan tidak rasional”.

Mahkamah turut mengeluarkan perintah mandamus yang mengarahkan Putrajaya menjalankan semakan hasil baru bersama kerajaan Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan dan bersetuju mengenai hak 40 peratus bagi setiap tahun kewangan dari 1974 hingga 2021, dengan semakan itu dimulakan dalam tempoh 90 hari dan diselesaikan dalam 180 hari.

Walaupun Armizan menyokong keputusan mahkamah mengenai hak hasil tersebut, dia menegaskan rayuan Putrajaya terhadap bahagian tertentu penghakiman itu tidak menjejaskan hak 40 peratus tersebut.

Dia berkata langkah itu perlu bagi menyelesaikan isu lama “tahun-tahun yang hilang”.

“Perlembagaan menyediakan ruang untuk mana-mana pihak menggunakan semua saluran undang-undang. Kita mesti melihat Perlembagaan secara keseluruhan, bukan hanya satu klausa,” tegas Armizan.

Untuk rekod, antara 1974 hingga 2018, kerajaan persekutuan membayar Sabah jumlah tetap RM26.7 juta setahun — walaupun Perlembagaan menetapkan Putrajaya perlu memulangkan 40 peratus hasil persekutuan yang dikutip di negeri itu.

Tiada semakan dibuat sepanjang 48 tahun tersebut walaupun Perkara 112D mewajibkan semakan berkala.

Pada 2022, ketika menjadi menteri kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz memberitahu parlimen bahawa hak 40 peratus itu “tidak lagi terpakai”, dengan merujuk kepada semakan 1969–1973 yang dibuat ketika darurat.

GRS lebih pragmatik

Memuji pentadbiran Madani, Armizan berkata tidak seperti kerajaan terdahulu, kerajaan sekarang merupakan yang pertama mengiktiraf secara rasmi bahawa hak tersebut masih aktif dan menggunakan formula 40 peratus sebagai asas rundingan.

Tegasnya GRS mengambil pendekatan pragmatik, bukan konfrontasi.

“Kita perlukan kesatuan di Sabah untuk mengukuhkan kuasa tawar-menawar kita. Kita tidak guna pendekatan konfrontasi. Kita melihat kepada libat urus konstruktif dan berorientasikan hasil.”

Armizan turut mengetengahkan penubuhan platform rundingan khusus mengenai isu 40 peratus, yang disifatkannya sebagai penambahbaikan besar berbanding jawatankuasa Perjanjian Malaysia 1963 sebelum ini.

“Kita mahu platform khusus ini diteruskan, bukan sahaja untuk menyelesaikan isu semasa tetapi untuk semakan setiap lima tahun,” katanya.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS